Sabtu, 18 Jun 2016 | 12:09am
FATTAH Amin berjanji tidak menyembunyikan sebarang perkembangan yang baik dengan semua orang. Foto Nur Adibah Ahmad Izam
FATTAH dicalonkan ke peringkat akhir dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29), baru-baru ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON drama Hello Mr Perfect, Fattah Amin dan Ruhainies
LAKONAN Fattah di dalam filem KL Special Force.

'Pelakon kayu' dorong Fattah Amin tingkatkan mutu lakonan


KETIKA beliau mula-mula membabitkan diri dalam lakonan, kira-kira tiga tahun lalu, dirinya agak teruk dikecam apabila dikatakan gagal memberikan lakonan yang memberangsangkan.

Malah, saat dirinya mula dikenali ramai menerusi drama rantaian Playboy Itu Suami Aku yang mengisi slot Akasia di TV3, Fattah Amin pernah dilabel sebagai 'pelakon kayu' gara-gara persembahannya yang dilihat kaku di depan kamera.

Namun, ia bukan halangan untuk jejaka ini terus mencipta nama dalam arena lakonan. Rentetan kejayaan drama itu juga, satu demi satu projek dijayakan olehnya sehingga namanya dicalonkan ke peringkat akhir dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29), baru-baru ini.

Pencalonan itu pula tentu saja hasil ledakan drama Hello Mr Perfect yang turut mengisi slot popular berkenaan. Selain dua drama terbabit, Fattah turut memikat hati peminat dengan beberapa judul lain termasuk Cinta Jannah, Cinta Ibadah, Bencinta, Bodyguard, Ketupat Palas Mr Handsome dan Gerak Khas.

Bukan sekadar semakin diterima kalangan peminat, beliau juga mula menunjukkan peningkatan dalam persembahan sehingga menjadi pilihan ramai produser.

Pemuda ini sendiri nyata bersyukur kerana namanya semakin mendapat tempat di hati penerbit drama dan filem.


SINGLE Hero Untuk Mu yang pernah dihasilkan Fattah tidak berhasil menonjolkan dirinya dalam dunia nyanyian. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Alhamdulillah di atas rezeki dan peluang saya terima, termasuk yang diberikan pihak stesen TV serta produksi. Setiap hari memang menjadi proses pembelajaran baharu buat saya dan ia juga pengalaman berharga.

"Umpamanya, ketika ini saya sedang menjayakan filem KL Special Force di samping Datuk Rosyam Nor. Beliau banyak berkongsi tips dan nasihat. Saya banyak belajar daripadanya. Jadi, setiap hari menjadi ruang untuk saya terus memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kualiti lakonan.

"Pencalonan pada ABPBH 29 juga memberi impak tersendiri kepada kerjaya seni saya. Ia hasil usaha peminat yang tidak jemu-jemu mengundi. Cuma, belum ada rezeki untuk saya menang. Mungkin juga masih terlalu awal untuk saya menjulang kejayaan. Begitupun, dicalonkan ke akhir sudah menjadi pencapaian begitu manis buat saya," katanya.

Selain berlakon, Fattah juga sebenarnya mempunyai minat dalam nyanyian, sama seperti teman seperjuangan yang sering dikaitkan dengan dirinya, Sherry Ibrahim.

Sherry sendiri sudah membuktikan kemampuannya dengan menyertai pertandingan Gempak Superstar hingga dinobatkan sebagai naib juara. Fattah pula pernah menghasilkan single berjudul Hero Untuk Mu, yang turut menampilkan Sherry dan RJ, tahun lalu.


KEJAYAAN Fattah kini lebih terarah kepada dunia lakonan berbanding nyanyian hingga mendapat perhatian ramai produser. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Bagaimanapun, sebagai pelakon yang kemudian mencuba bidang nyanyian, justeru tidak hairanlah apabila apa sebahagian peminat mempertikaikan keupayaannya di bidang seni suara. Single beliau juga dilihat kurang mampu menyerlahkan namanya di arena nyanyian.

Kata Fattah, 25, percubaan menjadi penyanyi tidak lebih daripada usaha dirinya merebut peluang yang hadir depan mata. Malah sebelum berlakon, beliau turut mempunyai kumpulan muzik di kalangan kawan yang gemar 'berjamming' bersama-sama.

"Setakat ini kehadiran single itu berjalan seperti yang dirancang. Cuma, saya akui tidak semua yang kita buat akan mendapat sambutan atau meletup. Ada kalanya, rezeki kita bukan tertulis waktu itu dan mungkin akan hadir pada ketika yang lain. Mungkin juga rezeki nyanyian saya sampai di situ saja.

"Saya sendiri meminati dunia nyanyian sejak sekian lama. Jadi, saya mencabar diri dan mengambil peluang menghasilkan single berkenaan.

"Saya percaya, peluang menghasilkan single itu tidak wajar dilepaskan. Kalau saya melepaskannya begitu saja, mungkin juga tiada lagi peluang serupa akan saya terima. Umpamanya sekarang, tidak ada lagi tawaran sama yang datang. Lagipun, saya sendiri semakin sibuk dengan lakonan. Jadi, saya tidak mahu hilang fokus dengan apa yang dilakukan," katanya.


FATTAH pernah dikecam apabila dikatakan gagal memberikan lakonan yang memberangsangkan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Diajak berbicara mengenai Sherry, sebagai antara insan paling rapat, Fattah begitu menyokong apa yang dilakukan teman istimewanya itu. Ia termasuk keputusan pelakon terbabit untuk bertudung pada Mac lalu, selain menyertai pertandingan realiti nyanyian.

"Jelas kami mempunyai minat sama dalam dunia lakonan dan nyanyian. Saya pun tahu, minatnya terhadap seni suara sudah tertanam dalam diri sejak sekian lama. Boleh dikatakan, sebelum beliau berlakon lagi. Saya percaya dan tahu bakat yang dimilikinya itu. Beliau juga mencabar diri untuk melihat sejauh mana dirinya boleh pergi dalam dunia berkenaan?

"Saya sokong apa saja keputusannya dan beliau sudah membuktikan bakat nyanyiannya menerusi rancangan realiti itu. Beliau berjaya menunjukkan dirinya seorang penyanyi yang baik dan serba boleh. Cuma, sebelum ini peluangnya untuk berbuat demikian belum tiba. Saya harap beliau akan terus maju jaya dalam apa yang dilakukan. Kejayaan sebagai naib juara itu menjadi pemacu kepada langkah seterusnya. Insya-Allah," katanya.

Sempat diajukan pertanyaan mengenai sebarang perancangan untuk menaiki pelamin bersama wanita terbabit, Fattah yang amat gembira dengan keputusan Sherry untuk berhijab, bagaimanapun tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan penting sebegitu.

"Kalau ada perancangan ke arah itu, saya akan maklumkan. Saya takkan sembunyikan perkara baik daripada pengetahuan semua orang," katanya.

Berita Harian X