Sabtu, 18 Jun 2016 | 2:10pm

Gunung berapi Filipina muntah abu, ancam penerbangan

GUNUNG Kanlaon. - Foto AFP

MANILA: Sebuah gunung berapi di tengah Filipina memuntahkan debu ke langit hari ini, memaksa agensi penerbangan memberi amaran kepada pesawat untuk mengelaknya, menurut pihak berkuasa.

Gunung Kanlaon, terletak di pulau tengah Negros, meletuskan abu kelabu keputihan kira-kira 1.5 kilometer ke udara, kata pegawai Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina, Kenn John Veracruz.

Pejabat penerbangan awam mengeluarkan amaran bahawa "penerbangan yang beroperasi di persekitaran gunung berapi dinasihatkan untuk mengelak daripada terbang berhampiran dengan puncak gunung kerana abu di udara akibat letusan secara tiba-tiba boleh berbahaya kepada pesawat."

Gunung berapi, terletak kira-kira 510 kilometer di selatan Manila, lebih aktif berbanding biasa sejak November, menyebabkan kerajaan mengharamkan pejalan kaki dari lereng dan cerunnya.

Veracruz berkata, setakat ini pihak berkuasa tidak mengesan sebarang peningkatan lahar di dalam gunung berapi setinggi 2.47 kilometer itu tetapi mereka memeriksa sejauh mana abu itu diterbangkan angin dan sama ada ia boleh memberi kesan kepada komuniti berdekatan.

Pejabat pertahanan awam menyatakan setakat ini mereka tidak menerima sebarang laporan kerosakan atau penduduk yang terjejas akibat debu tetapi pihak berkuasa tetap berjaga-jaga.

Pada Ogos 1996, gunung berapi itu tiba-tiba meletus, menghamburkan batuan panas hingga mengorbankan tiga pejalan kaki yang dekat dengan kemuncak pada masa itu.

Filipina terletak di Lingkaran Api Pasifik dan mempunyai lebih 20 gunung berapi aktif.

Awal bulan ini, Gunung Bulusan di pedalaman wilayah timur Sorsogon memuntahkan abu dan wap ke udara. - AFP

Berita Harian X