Sabtu, 18 Jun 2016 | 2:49pm

Jakel agih 150 baju raya, butang, samping percuma

JOHOR BAHRU: Gedung tekstil terkemuka, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) melancarkan kempen Oh! Meriahnya Raya yang ketiga untuk tahun ini di cawangan Bandar Baru Uda di sini, hari ini.

Sesi yang bermula jam 12 tengah hari hingga jam 3 petang hari ini menampilkan selebriti duta raya Jakel iaitu Nabil Ahmad, Jep Sepahtu dan Upin Ipin kepada lebih 10,000 pengunjung bagi mempromosikan koleksi pakaian raya Jakel 2016.

Pengurus Cawangan Jakel Johor Bahru, Nazarudin Kassim, berkata sebanyak 150 baju raya berserta butang dan samping akan diagihkan secara percuma sepanjang tempoh promosi berkenaan.

Katanya, sesi 'happy hour' yang akan disertai semua selebriti dengan harga menjunam itu diyakini mampu memuaskan hati semua pelanggan yang hadir ke cawangan Johor Bahru.

"Promosi kali ini memperkenalkan koleksi baharu Jubah Tarawih dan Baju Melayu Siap Nabil Ahmad serta Jep Sepahtu yang menawarkan pilihan pelbagai warna dan reka bentuk.

"Jakel turut memberi jaminan kualiti fabrik koleksi raya kali ini diperbuat daripada kapas dan satin berkualiti tinggi," katanya pada sidang media selepas pelancaran promosi koleksi pakaian raya Jakel 2016 di sini, hari ini.

Berita Harian X