Sabtu, 18 Jun 2016 | 3:09pm

Usahawan muda perlu dibantu


MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOST), Datuk Seri Madius Tangau, (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Eksklusif ' The Malaysia Top 10 Most Innovative Young Leaders Award 2016 ' kepada Pengasas Incitement, Zikry Kholil, (dua dari kanan) sambil ditemani oleh Naib Canselor dan Presiden UCSI, Prof Datuk Dr. Khalid Yusoff, (kiri) dan Pengerusi Amanah Universiti UCSI, Datuk Dr. Karim Abdullah Omar, (kanan) pada Pelancaran Siri Ceramah Kepimpinan (ULLS) 2016 di Hotel Le Quadri, Cheras. - Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Seperti Hong Kong dan Singapura, Malaysia turut mengalami kehilangan bakat apabila penduduknya berhijrah ke luar negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau, berkata perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana sumber manusia adalah aset penting dalam mencapai wawasan 2020.

"Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kementerian saya membantu usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan menghadapi halangan perniagaan. Dengan cara ini, kita tidak akan hilang bakat muda.

"Kita perlu membantu usahawan muda ini mendapatkan pasaran untuk produk mereka secara berterusan," katanya pada ucaptama pada Siri Ceramah Kepimpinan U-Shous UCSI 2016, di sini, hari ini.

Siri ceramah bertemakan 'LEADnovate the Future' itu menampilkan pembicara terkemuka yang akan berkongsi kepakaran mereka ke arah menerapkan nilai kepemimpinan yang kukuh dalam kalangan pemimpin muda seluruh negara.

Siri Ceramah itu dihadiri kira-kira 500 peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dalam negara.

Peserta akan dibahagikan mengikut kelas master, sesi forum dan perbincangan bersama ketua industri dan juara komuniti seperti Ahsran Datuk Ghazi, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dr Renard Siew, Kumpulan Kelestarian Sime Darby dan Ruben Cortes iaitu Pengasas Build For Tomorrow.

Pada majlis itu, turut disampaikan Anugerah 10 Pemimpin Inovatif Muda Terbaik 2016 yang mengiktiraf generasi muda Malaysia yang menyumbang secara inovatif kepada masyarakat Malaysia.

22 dibaca
Berita Harian X