Ahad, 19 Jun 2016 | 2:10am

MAIK sumbang RM50,000 kepada Madrasah Diniah


DR Nik Azlan (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan RM50,000 kepada Setiausaha madrasah, Ahmad Shahrozi Abdullah.

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyerahkan bantuan sebanyak RM50,000 kepada Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh, di sini, yang terbakar kelmarin.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Azlan Abd Hadi, berkata sumbangan berkenaan adalah untuk pembinaan bangunan asrama baharu bagi menggantikan bangunan asrama pelajar perempuan yang terbakar itu.

"MAIK menerima arahan daripada Yang Dipertua, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra supaya menyampaikan sumbangan kecemasan kepada pengurusan madrasah itu.

"Selepas ini, MAIK akan memberi bantuan susulan kepada 70 pelajarnya yang tinggal sehelai sepinggang apabila asrama mereka hangus.

"Jumlah bantuan seterusnya bergantung pada nilai kerugian masing-masing pelajar berkenaan," katanya selepas melawat tapak kebakaran madrasah berkenaan, lewat petang tadi.

Satu blok bangunan dua tingkat yang mengandungi tiga pintu asrama Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh, hangus dijilat api dalam kebakaran jam 5.50 petang semalam.

138 dibaca
Berita Harian X