Ahad, 19 Jun 2016 | 1:49pm

Status halal marshmallow diragui - JAKIM

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan kebanyakan produk marshmallow yang dijual secara terbuka khususnya diimport diragui status halalnya.

Sehubungan itu, Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal JAKIM menasihatkan orang ramai supaya memastikan produk marshmallow yang hendak dibeli memiliki logo halal diiktiraf pihaknya.

"Isu marshmallow haram timbul berikutan kenyataan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal, Mohd Amri Abdullah yang dipetik dari Rancangan Tanyalah Ustaz di TV9 pada 15 Jun 2016.

"Beliau menyatakan produk berasaskan gelatin dari sumber haiwan adalah antara yang dikenal pasti sebagai produk kritikal daripada perspektif halal," kata unit berkenaan dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan itu menyebut, walaupun terdapat pengeluaran dan pemprosesan produk terbabit di negara ini, jumlahnya sangat terhad.

Justeru, katanya, bagi penggemar marshmallow, pastikan produk yang ingin dibeli mempunyai logo halal Malaysia atau logo daripada badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

Sebarang kemusykilan mengenai status halal produk di pasaran dan premis makanan, layari www.halal.gov.my atau rujuk direktori Halal Malaysia menerusi aplikasi telefon pintar MyJakim.

JAKIM turut mengesahkan mesej yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp mengenai marshmallow yang memetik kenyataan Mohd Amri adalah tepat dan perlu diberi perhatian oleh masyarakat.

Berita Harian X