Ahad, 19 Jun 2016 | 2:00pm

MCPF tubuh jawatankuasa baharu perangi masalah dadah

TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto Muhammad Hatim Ab Mana
TAN Sri Lee Lam Thye. - Foto Muhammad Hatim Ab Mana

KUALA LUMPUR: Sebuah Jawatankuasa Pencegahan Jenayah Berkaitan Dadah ditubuhkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bagi memastikan persekitaran institusi keluarga, pendidikan, tempat kerja serta komuniti bebas penyalahgunaan dadah.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penubuhan jawatankuasa itu membolehkan MCPF merangka dan melaksanakan program kesedaran dalam kalangan masyarakat di seluruh negara, terutama golongan ibu bapa dan belia.

Katanya, usaha itu selaras pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengisytiharkan 2016 sebagai tahun memerangi penyalahgunaan dadah secara habis-habisan.

"Selagi masalah penagihan dadah tidak dapat diatasi, banyak jenayah seperti ragut serta pecah rumah yang berkait dengan dadah akan terus berlaku.

"Penagihan dadah juga semakin membimbangkan apabila ia dilihat semakin menular dalam kalangan remaja terutama membabitkan pelajar sekolah rendah seawal tujuh tahun.

"Bagi memantapkan usaha ini, MCPF akan melakukan kolaborasi dengan pelbagai pihak seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM)," katanya dalam kenyataan di sini.

Lam Thye yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata Majlis Belia Malaysia (MBM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Kesihatan juga akan bekerjasama dalam memerangi penyalahgunaan dadah di negara ini.

Beliau berkata, ketika ini, pihaknya sudah merangka satu penganjuran bengkel yang membabitkan belia di Kelantan sebelum diteruskan di Kedah.

"Menerusi bengkel ini, kita harap akan mendapat maklum balas generasi Y terhadap isu dadah dalam mengumpul lebih banyak idea, cadangan dan pendapat yang realistik bagi menangani masalah ini.

"Kita perlu mengambil langkah proaktif dan efektif dalam membanteras dadah sehingga ke akar umbi, termasuk pencegahan, rawatan perubatan dan pemulihan serta penguatkuasaan demi memastikan masa depan negara," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X