Ahad, 19 Jun 2016 | 6:26pm

Mastura boleh jalan tugas wakil rakyat dalam edah


MASTURA (tengah) mendengar aduan seorang penduduk Kampung Sayong Lembah (kanan) pada hari pertama bergelar Ahli Parlimen di kediamannya dekat Bukit Chandan, hari ini. Menemaninya ialah anak sulungnya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang baharu dipilih, Datin Mastura Mohd Yazid, boleh terus memberikan perkhidmatannya sebagai wakil rakyat walaupun ketika ini beliau masih dalam tempoh edah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata ini kerana sebagai wakil rakyat yang dipilih beliau mempunyai tanggungjawab terhadap rakyat dan dibenarkan untuk keluar bertugas jika ada tuntutan yang memerlukan beliau untuk keluar bertemu masyarakat.

"Contohnya, bila berlaku bencana alam, ribut, kebakaran atau sebagainya, beliau boleh keluar kerana ia menjadi kewajipannya sebagai wakil rakyat.

"Bagaimanapun, ia perlu mematuhi syarat iaitu tidak boleh berhias dan menghormati dirinya yang ketika ini masih dalam tempoh edah kerana kematian suami," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hukum dan tempoh edah itu tetap masih berlangsung dan ia perlu diikuti.

"Cuma ketika ada keperluan yang wajib dituntuti sahaja, maka beliau boleh hadir," katanya.

Harussani berkata, Mastura juga boleh menghadiri Majlis Angkat Sumpah sebagai Ahli Parlimen apabila dipanggil kerana itu juga menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya yang perlu dipenuhi.

Berita Harian X