Isnin, 20 Jun 2016 | 11:25am

Pertaruhan besar Hodgson

Roy Hodgson (kiri) dan Wayne Rooney di Euro 2016. - Foto www.caughtoffside.com

PARIS: Roy Hodgson sedia melakukan pertaruhan terbesar di Euro 2016 dengan merehatkan kapten Wayne Rooney untuk pertembungan dengan Slovakia, awal pagi esok.

Pengurus England itu sedang pertimbang untuk melakukan enam perubahan dalam kesebelasan utama yang meraih kemenangan ke atas Wales, Khamis lalu bagi perlawanan terakhir Kumpulan B.

Harry Kane, Raheem Sterling, Dele Alli, Kyle Walker dan Danny Rose juga bakal disisihkan walaupun England perlu menang untuk menjamin kedudukan teratas kumpulan.

Namun, Rooney adalah mangsa terbesar dengan Hodgson dilihat untuk memperkemaskan pasukan menjelang pusingan kalah mati.

Daniel Sturridge dan Jamie Vardy, yang kedua-duanya menjaringkan gol selepas masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Wales, bersedia untuk mengisi dua kekosongan di bahagian serangan.

Jack Wilshere dan Jordan Henderson bakal beraksi untuk perlawanan pertama mereka di Euro, menggantikan Alli dan Rooney, manakala Nathaniel Clyne serta Ryan Bertrand dijangka mengisi pertahanan utama.

"Saya perlu banyak berfikir dan berhati-hati kerana kami perlu memenangi perlawanan dan saya tidak mahu dituduh tidak serius terhadap permainan ini dengan membuat perubahan yang orang tidak faham," kata Hodgson.

"Semua pemain mampu berada dalam skuad ini dan membantu kami memenangi perlawanan itu, tetapi menjadi dilema untuk saya memilih bagi mengekalkan pasukan yang sudah memungut empat daripada enam mata." - AGENSI

Berita Harian X