Selasa, 21 Jun 2016 | 1:39pm

APMM tahan bot warga Indonesia menceroboh

TINDAKAN nekad seorang tekong bersama lima lagi awak-awak menceroboh dan menangkap ikan secara tidak sah di perairan Malaysia membawa padah apabila bot yang dinaiki mereka di tahan kapal ronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang lebih kurang jam 5 petang Kelmarin. - Foto Ihsan APMM

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan warga asing selepas dikesan menangkap ikan secara haram di Pulau Kendi di sini, petang semalam.

Operasi Khas Satria Utara yang dijalankan pasukan APMM Pulau Pinang kira-kira jam 5 petang itu, berjaya menahan seorang tekong bersama lima awak-awak warga Indonesia ketika sedang menangkap ikan di kedudukan 48 batu nautika dari Pulau Kendi.

Pengarah Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Kamaruszaman Abu Hassan, berkata semua yang ditahan berusia lingkungan 22 hingga 26 tahun.

"Hasil pemeriksaan awal, mendapati bot terbabit didaftarkan di Indonesia dan masuk ke perairan negara secara haram, selain tiada dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak mendapat kebenaran untuk menangkap ikan.

"Kita turut merampas hasil tangkapan daripada pelbagai jenis ikan seberat 50 kilogram serta beberapa peralatan menangkap ikan.

"Semua nelayan terbabit dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Perikanan 1985," katanya.

Berita Harian X