Rabu, 22 Jun 2016 | 9:15am

1,000 murid miskin, yatim terima sumbangan YaPEIM

SEBAHAGIAN murid yang menerima sumbangan pada Program Inspirasi Ramadan YaPEIM 2016, di Masjid Ibrahimi.
SEBAHAGIAN murid yang menerima sumbangan pada Program Inspirasi Ramadan YaPEIM 2016, di Masjid Ibrahimi.

PASIR PUTEH: Seramai 1,000 murid miskin dan anak yatim di negeri ini menerima RM100 setiap seorang sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Sumbangan amal jariah itu disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Program Inspirasi Ramadan YaPEIM 2016, di Masjid Ibrahimi, di sini malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin; Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd Anis Hussin dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh, Harun Yusof.

Daripada jumlah penerima sumbangan itu, seramai 780 adalah murid sekolah rendah, manakala 220 lagi adalah anak yatim dan golongan asnaf dari beberapa jajahan di negeri ini dan juga Besut, Terengganu.

Asyraf Wajdi ketika berucap pada program itu berkata, YaPEIM menyediakan peruntukan berjumlah RM2.2 juta untuk diberikan kepada 13,000 murid miskin dan anak yatim di seluruh negara.

Beliau berkata, sumbangan itu antara usaha YaPEIM memperkasakan program kebajikannya bagi menangkis tanggapan negatif sesetengah pihak berhubung pengurusan kewangannya sebelum ini.

"Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada YaPEIM kerana kejayaan menganjurkan program seperti ini kerana ada rakyat yang mempersoalkan ke mana duit YaPEIM pergi," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X