Rabu, 22 Jun 2016 | 12:16pm

Kerajaan Sabah sedia peluang lebih baik kepada hafiz, hafizah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sentiasa memberi pengiktirafan kepada hafiz dan hafizah di negeri ini dalam pelbagai bidang termasuk aspek kerjaya serta peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata pengiktirafan berkenaan bertujuan menyuntik minat dan kesungguhan hafiz dan hafizah di Sabah untuk terus mendalami ilmu agama dan al-Quran.

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - Foto Izhari Ariffin

Beliau berkata, langkah berkenaan juga dilihat mampu menarik lebih ramai generasi muda di negeri ini untuk bergelar hafiz dan hafizah.

"Dengan pengiktirafan ini, kita secara tidak langsung menghargai mereka yang sering mengharumkan nama negeri ini.

"Selain itu, sewajarnya institusi tahfiz al-Quran di seluruh negeri diperkasakan lagi seperti institusi sama di negeri lain.

"Penambahbaikan ini termasuklah bidang pengajian dan kemudahan prasarana," katanya ketika merasmikan Program Bicara Ramadan sempena Nuzul al-Quran 2016, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Yang turut hadir ialah Mufti Negeri Sabah, Datuk Bongsu Aziz Jaafar; Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah, Md Radzi Md Ali dan Timbalan Pengarah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Mohammad Sidik Ag Adi.

Musa berkata, program Bicara Ramadan yang dianjurkan kali ini boleh memperingati sejarah penurunan dan mengambil pengajaran yang terkandung dalam al-Quran, selain membudayakan sikap suka membaca kitab itu dalam kehidupan seharian.

"Umat Islam hendaklah beriltizam tinggi untuk berusaha menguasai, memahami, menghayati serta mengamalkan ilmu isi kandungan al-Quran dalam usaha mencapai kejayaan pembangunan modal insan secara seimbang.

Berita Harian X