Rabu, 22 Jun 2016 | 4:02pm

Tabung Dana Kasih sumbang RM10,000 kepada Madrasah Diniah Bakriah


PENGERUSI Eksekutif YPPM, Datuk Dr Mashitah Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Madrasah berkenaan, Ahmad Shukri Hashim di Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri

KOTA BHARU: Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) menerusi Tabung Dana Kasih menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Madrasah Diniah Bakriah, Pasir Tumboh yang terbakar Jumaat lalu.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif YPPM, Datuk Dr Mashitah Ibrahim kepada Pengerusi Madrasah berkenaan, Ahmad Shukri Hashim, di sini, hari ini.

Mashitah berkata, sumbangan berkenaan dari Tabung Dana Kasih yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mei lalu dan Madrasah Diniah Bakriah adalah penerima pertama dari dana berkenaan.

"Menerusi tabung berkenaan, mana-mana pondok yang mengalami masalah dan ditimpa musibah, kita akan tampil membantu. Alhamdulillah tabung ini berjaya digerakkan hari ini.

"Buat masa sekarang, kita menyumbang wang tunai RM10,000 dan akan berbincang dengan pihak pondok bagi bantuan susulan," katanya ketika ditemui di sini.

Pada masa sama, Mashitah berkata, YPPM akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menganjurkan program pencegahan dan seminar kesedaran di semua pondok, dalam usaha mengelak kejadian sama berulang.

"Ini kerana berdasarkan statistik tahun lalu, 22 kes kebakaran membabitkan pondok, manakala dalam tempoh enam bulan tahun ini sahaja, sudah enam kes kebakaran pondok direkodkan.

"Selain seminar kesedaran, menerusi program itu juga, pegawai bomba akan memberi penerangan awal apa yang patut dilakukan untuk menyelamatkan keadaan," katanya.

78 dibaca
Berita Harian X