Isnin, 10 November 2014 | 2:57pm

Melaka bentang bajet lebihan 11 tahun berturut-turut

AYER KEROH: Kerajaan Melaka mempertahankan bajet lebihan bagi tempoh 11 tahun berturut-turut sejak 2005, sekali gus mencipta rekod menerusi bajet tahun depan yang bertemakan Memantap Ekonomi, Mensejahtera Rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, ketika membentangkan Bajet 2015 itu, berkata kerajaan negeri menganggarkan perolehan hasil sebanyak RM302.92 juta, berbanding anggaran mengurus RM302.73 juta pada tahun depan iaitu lebihan sebanyak RM0.19 juta.

Beliau berkata, antara penyumbang hasil adalah menerusi cukai seperti tanah, perkhidmatan dan sewaan yang berjumlah RM108.96 juta, hasil bukan cukai (RM123.69 juta) dan terimaan bukan hasil (RM70.27 juta).

Katanya, bagi anggaran mengurus, sebanyak RM6.85 juta adalah bagi tanggungan, perkhidmatan dan bekalan (RM114.73 juta), pembelian aset (RM3.8 juta) dan pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM86.11 juta).

"Kejayaan mencatatkan lebihan atau surplus ini adalah hasil pelaksanaan dasar perbelanjaan berhemah, kecekapan pengurusan kewangan, selain kawalan kewangan yang ketat dan tidak boros berbelanja," katanya pada Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri ke-13 bagi Penggal Kedua di Seri Negeri di sini, hari ini.

Idris berkata, peruntukan pembangunan pula adalah sebanyak RM55.06 juta meliputi penyediaan infrastruktur sebanyak RM19 juta, kemajuan masyarakat (RM11.65 juta), ekonomi (RM9.56 juta), keagamaan (RM7 juta), pembangunan veterinar dan pertanian (RM2.2 juta) serta pentadbiran dan sosial (RM5.65 juta).

Katanya, kerajaan turut menggariskan tiga strategi bagi menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi antaranya mempersiaga Melaka Maju Fasa Kedua Ke Arah Negeri Bandar Berpendapatan Tinggi, Mensejahtera Rakyat dan Membina Kehidupan Berkualiti serta Mentransformasi Penyampaian Perkhidmatan Awam.

"Antara strategi ini ialah kerajaan negeri terus komited meningkatkan punca pendapatan isi rumah tanpa mengira kaum, kerajaan melalui Perbadanan Ketua Menteri Melaka akan mengkaji kesesuaian untuk membangunkan projek landasan kereta api laju (High Speed Rail) di Durian Tunggal bagi meningkatkan pembangunan di kawasan terbabit dan perancangan pertumbuhan ekonomi negeri perlu berdasarkan kepada ekonomi rendah karbon.

"Selain itu, menyediakan peruntukan RM15 juta untuk disalurkan kepada penerima bantuan am negeri, memberi penekanan dan tumpuan dalam bidang pendidikan untuk membina sumber manusia yang berdaya saing melalui bantuan kewangan dan prasarana serta terus memastikan mutu kerja perkhidmatan awam dipertingkatkan seiring dengan prinsip berkat, tepat dan cepat dalam melaksanakan tugas dengan meletakkan integriti sebagai nilai pegangan utama," katanya.

Berita Harian X