Khamis, 23 Jun 2016 | 12:08am
CHEF Nurilkarim menunjukkan menu yang terdapat di Cafe Jawi House. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
CHEF Nurilkarim Mohd Razha. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Satu talam, 10 jenis makanan


GEORGETOWN: Berbuka puasa dengan makanan yang dikongsi dalam talam mungkin boleh merapatkan hubungan silaturahim.

Konsep itu diperkenalkan menerusi Ramadan Talam yang memberi kelainan berbanding juadah lain apabila memberi peluang kepada pelanggannya menikmati hidangan istimewa masyarakat Jawi Peranakan yang dinikmati di dalam dulang besar.

  Chef Nurilkarim Mohd Razha, 27, berkata menu istimewa itu menerapkan resipi daripada pelbagai budaya termasuk mengambil kira cita rasa tempatan melalui cara hidangan dan ramuan yang digunakan.

  Katanya, unsur itu diterapkan bagi menunjukkan kelainan dalam masakan dan budaya masyarakat Jawi Peranakan yang berasal dari Pakistan berikutan ia tidak begitu diketahui orang ramai.

  "Setiap hidangan Ramadan Talam boleh dimakan dua hingga tiga orang dan ia meliputi sehingga 10 jenis makanan dalam setiap dulang bermula daripada nasi hingga pencuci mulut bersama minuman istimewa iaitu jus buah pala.

CHEF Nurilkarim menunjukkan hidangan Ramadan Talam. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

  "Ramadan Talam mempunyai tiga jenis nasi yang boleh dipilih bersama dua jenis lauk seperti ayam masak merah dan daging hitam, daging rendang, bamieh dan kari ikan," katanya ketika ditemui.

  Setiap hidangan dimasak mengikut pengaruh Pakistan yang berbeza sama sekali dengan masakan masyarakat India yang banyak digunakan dalam hidangan nasi kandar yang terkenal di Pulau Pinang.

  Menurut Nurilkarim, pelanggan juga boleh memilih hidangan nasi dan lauk mengikut cita rasa seperti nasi kacang, nasi briyani dan nasi ulam yang menggabungkan tujuh jenis ulam.

  "Pengalaman berbuka puasa di Jawi House berbeza kerana pelanggan boleh berkongsi semua nasi dan lauk.

  "Terdapat pelancong dari luar negara mengakui pengalaman makan di dalam dulang dan berkongsi hidangan dapat mengeratkan hubungan antara mereka," katanya.

 

CHEF Nurilkarim menunjukkan gambar keturunan masyarakat Jawi Peranakan mengikut generasi di Cafe Jawi House. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Info

  • RM60 setalam
  • Boleh dinikmati antara dua hingga tiga individu
  • 10 jenis hidangan di dalam satu talam

Berita Harian X