Khamis, 23 Jun 2016 | 1:20am

Trump usaha tambah dana saingi Clinton

Bakal calon presiden Republikan, Donald Trump. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Jutawan hartanah Donald Trump hadir dalam satu acara di New York bagi mengutip derma untuk kempen presidennya, ketika beliau berusaha mengurangkan kelebihan jurang kewangan yang dimiliki pencabar daripada parti Demokrat, Hillary Clinton.

Bakal calon presiden Republikan itu, yang mana angka kempen kewangan terbaharunya mencetuskan kebimbangan berhubung kesediaan Trump menghadapi persaingan pilihan raya umum, mengadakan acara bersarapan berharga AS$25,000 (RM100,626.25) sepinggan secara tertutup di restoran Itali, Le Cipriani untuk penyumbang terbesar, menurut akhbar The Wall Street Journal.

Jumlah maksimum sebanyak AS$2,700 (RM10,867.64) daripada setiap penyumbang dibenarkan disalurkan kepada kempen Trump, dengan bakinya disalurkan kepada parti Republikan.

Kelmarin, Trump berikrar untuk secara "peribadi" memberi sumbangan dolar ke dolar penyokongnya dalam tempoh 48 jam, sehingga AS$2 juta (RM8.05 juta).

Pengumpulan dana itu susulan pengisytiharan terbaru Trump dan Clinton kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC) yang menunjukkan kempen bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) itu memiliki dana AS$40 juta (RM161 juta) lebih banyak berbanding Trump.

"Saya memiliki lebih AS$40 juta jika saya mahu menggunakan wang sendiri. Saya fikir angka berikutnya akan lebih baik. Namun yang penting saya tidak mahu mengumpul bilion dolar," kata Trump kepada Fox News.

Trump berulang kali mengecam lawan politiknya kerana terhutang budi kepada penderma mega.

"Saya fikir dapat melakukannya (untuk mencapai kemenangan) walaupun dengan kekurangan dana," katanya.

Gaya pembiayaan kempennya tidak konvensional. Beliau setakat ini meminjamkan kepada kempennya sebanyak AS$45.7 juta (RM183.94 juta).

Beliau layak mengumpul wang daripada penyokongnya bagi menggantikan jumlah itu, namun memberitahu saluran MSNBC Mei lalu bahawa beliau "tidak berhasrat membayar semula kepada dirinya."

Sejumlah besar perbelanjaan kempen Trump, kira-kira 20 peratus pada Mei lalu, disalurkan semula kepada perniagaannya sendiri, lapor akhbar New York Times. - AFP

Berita Harian X