Khamis, 23 Jun 2016 | 5:11am

Ronaldo sukar dihalang - Storck

BINTANG Portugal, Cristiano Ronaldo meraikan jaringannya pada perlawanan Euro 2016 menentang Hungary di Stadium Parc Olympique Lyonnais, Decines-Charpieu, Lyon, awal pagi tadi. - Foto AFP

LYON: Jurulatih Hungary, Bernd Storck mengakui tiada apa yang boleh mengekang Cristiano Ronaldo dengan kapten Portugal itu dua kali menyamakan kedudukan ketika perlawanan berkesudahan 3-3, awal pagi tadi.

Bintang Real Madrid itu menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam empat kempen Euro selain membuat penampilan ke-17 dalam Kejohanan Eropah berkenaan yang turut mencatat rekod baharu.

"Kami tidak banyak memberi mereka peluang tetapi setiap kali Ronaldo mendapat bola, dia boleh menjaringkan gol. Kami semua tahu dia pemain bertaraf dunia, kamu tidak boleh mengawalnya," kata Storck.

Keputusan itu menyaksikan Hungary muncul juara Kumpulan F manakala Iceland yang menewaskan Austria 2-1 naib juara.

Portugal mara ke pusingan kalah mati sebagai pasukan ketiga terbaik kumpulan dan dijangka berdepan halangan sukar untuk layak ke suku akhir apabila dijadual bertemu Croatia yang mengejutkan juara bertahan, Sepanyol, semalam. - AFP

Berita Harian X