Khamis, 23 Jun 2016 | 9:24am

Abu Kassim tamat perkhidmatan 1 Ogos

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

PUTRAJAYA: Tan Sri Abu Kassim Mohamed akan menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai 1 Ogos ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan permohonan Abu Kassim untuk menamatkan perkhidmatan bagi jawatan itu mulai tarikh berkenaan dengan memberi sebulan notis, selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, Ali berkata, Abu Kassim akan terus menyumbang kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 5 Disember 2020.

"Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Abu Kassim yang banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Dalam tempoh menerajui SPRM sejak 1 Januari 2010, SPRM sudah melaksanakan fungsinya dengan cemerlang selaras dengan visinya untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah berlandaskan nilai kerohanian dan moral yang tinggi," katanya.

Ali berkata, kerajaan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Abu Kassim atas pelantikan sebagai anggota fakulti (pakar jemputan) Akademi Antirasuah Antarabangsa, Austria, institusi pengajian antirasuah unggul di dunia di bawah tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Beliau juga akan menyumbang pengalaman dan kepakaran sebagai perunding di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Di peringkat antarabangsa, Abu Kassim akan terus memegang jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Antarabangsa Pihak Berkuasa Antirasuah dan Ahli Lembaga Tadbir Urus, Akademi Antirasuah Antarabangsa, Austria hingga tamat tempoh pelantikan berkenaan," katanya.

Berita Harian X