Khamis, 23 Jun 2016 | 8:00pm

BMW Group Malaysia Perkenal BMW X5 xDrive40e Baharu


BMW X5 xDrive40e baharu.

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW X5 xDrive40e baharu, kenderaan 'plug-in hybrid' premium terkini yang dipasang di negara ini.

Kenderaan itu adalah model ke-11 menyertai portfolio model pemasangan tempatan (CKD) di kemudahan BMW Group Malaysia di Taman Teknologi Tinggi Kulim, mengetengahkan kandungan tempatan, pemasangan dan peralatan ujian.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Han Sang Yun, menyifatkan BMW X5 xDrive40e baharu membuka era baharu BMW EfficientyDynamics.

Katanya, ia menawarkan prestasi luar biasa dan mobiliti elektrik sepenuhnya dengan pelepasan asap sifar, selain memperkenalkan pengalaman pemanduan baharu, bersama kombinasi pemanduan dinamik serta elektrik sepenuhnya dalam sebuah kenderaan aktiviti sukan (SAV).

"Sejak mencipta segmen SAV premium, BMW X5 menetapkan penanda aras dalam segmennya di seluruh dunia. Gabungan kawalan rangkaian kuasa hibrid pintar dan pacuan semua roda menawarkan prestasi serta penjimatan luar biasa di atas jalan raya," katanya pada majlis pelancaran SAV terbaharu itu di sini, malam ini.

BMW X5 xDrive40e baharu memiliki sistem pacuan yang terdiri daripada enjin petrol empat silinder bersesaran dua liter dengan teknologi BMW TwinPower Turbo dan sebuah motor elektrik bersepadu segerak yang digabungkan bersama transmisi Steptronic lapan kelajuan.

Model baharu itu dijana enjin pembakaran dalaman 2.0 liter yang memenangi anugerah Enjin Terbaik Antarabangsa sebanyak tiga kali.

Ia menampilkan teknologi pengecas turbo TwinScroll, High Precision Injection, injap pemasaan boleh ubah VALVETRONIC dan kawalan aci sesondol boleh ubah pada bahagian pengambilan serta ekzos.

Enjinnya berupaya menjana kuasa maksimum 245hp dan tork puncak 350Nm, sementara motor elektrik menawarkan kuasa mencecah 83kW dengan tork maksimum 250Nm yang boleh diperoleh secara serta-merta.

Ia berperanan meningkatkan output enjin untuk maklum balas lebih pantas apabila memecut dari titik pegun, selain menawarkan prestasi terbaik ketika kelajuan diperlukan pada bila-bila masa.

Gabungan rangkaian kuasa berkenaan membolehkan BMW X5 xDrive40e baharu mencatat pecutan 0 hingga 100km/j dalam masa cuma 6.8 saat. Kelajuannya dihadkan secara elektronik kepada 210km/j dan tork puncak 450Nm.

Ketika berada dalam mode elektrik sepenuhnya, SAV baharu itu mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 120km/j.

Info:

BMW X5 xDrive40e

* RM582,800 : Harga runcit (di atas jalan, tidak termasuk insurans, termasuk Jaminan Perbatuan Tanpa Had Selama 5 Tahun daripada BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Secara Percuma dan Program Jaminan Tayar BMW).

* RM388,800 : Harga runcit dengan Insentif Hibrid yang diluluskan kerajaan, tidak termasuk insurans :

* 4 : Ditawarkan dalam warna perak (Glacier Silver), putih (Mineral White), kelabu (Space Grey) dan hitam (Carbon Black) bersama pilihan upholsteri kulit Dakota Terra atau Dakota Black

Berita Harian X