Khamis, 23 Jun 2016 | 11:29pm

Himpunan Selamatkan Al-Quds 1 Julai ini

PRESIDEN Malaysia Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia , Mohd Azmi Abd Hamid (dua dari kanan) bersama Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Abdul Ghani Shamsudin dan Presiden Pertububuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) Syed Sheikh Al-Attas (tiga kanan) pada sidang media mengenai MAPIM dan Gabungan Pertubugan Bukan Kerajaan (NGO) akan menyerahkan memorandum kepada kedutaan Amerika Syarikat berkaitan pembebasan Masjid Al-Aqsa di Hotel Calton, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Himpunan Selamatkan Al-Quds bagi mengutuk pencerobohan rejim zionis Israel ke atas Masjidil Al-Aqsa yang dijadual pada 1 Julai ini, dijangka dihadiri kira-kira 2,000 pendukung keamanan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abd Hamid yang juga jurucakap Sekretariat Palestin Malaysia, berkata himpunan itu mendapat sokongan kira-kira 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk ahli politik daripada beberapa parti Islam serta artis.

Katanya, peserta akan berarak selepas solat Jumaat, bermula di hadapan Masjid Tabung Haji menghala ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara, sebelum menyerahkan memorandum bantahan.

"Memorandum ini merangkumi beberapa isu dan tuntutan kepada AS, antaranya meminta negara kuasa besar itu supaya tidak lagi bersekongkol dengan Israel dalam agenda 'pengyahudian' Al Aqsa. Kami juga meminta AS berfikir sedalam-dalamnya mengenai kesan buruk tindakan ini, terutama kepada keamanan sejagat.

"AS juga didesak menghentikan pencabulan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia hanya kerana mahu melindungi kepentingan Israel," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Hadir sama Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Abdul Ghani Samsudin dan Setiausaha Sekretariat Palestin Malaysia, Ayes Sheikh Al Attas.

Mohd Azmi berkata, sejak beberapa bulan lalu, Israel semakin agresif merempuh ke kawasan Masjid Al-Aqsa, malah sengaja mencetuskan kemarahan dengan menyekat umat Islam masuk ke masjid itu sempena bulan Ramadan.

"Selain itu, berdasarkan maklumat daripada wakil kami di Palestin, sebuah organisasi Yahudi dikenali sebagai 'Ateret Cohanim' turut digerakkan untuk memasuki penempatan umat Islam Palestin berhampiran Masjid Al-Aqsa," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata pihaknya kecewa kerana Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) masih membisu serta gagal memainkan peranan dalam melindungi masjid suci ketiga 1.6 bilion umat Islam di seluruh dunia itu.

"Kita juga menggesa pemimpin Malaysia, terutama Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) untuk menggunakan pengaruh dalam kalangan negara Islam untuk menggerakkan usaha menyekat kezaliman Israel," katanya.

Berita Harian X