Isnin, 10 November 2014 | 5:15pm
Saat indah, Nabila dikucup papa kesayangannya, Amy Search. - Foto asriyashah Sabudin /BH]

Nabila Huda terima anugerah dua hari berturut-turut

Nabila bersama trofi keduanya di ASK2014. - Foto Hasriyashah Sabudin

KUALA LUMPUR: Sesuatu yang tidak boleh dinafikan, anak kesayangan rocker Amy Search, Nabila Huda ini punyai bakat seni yang besar. Katakan apa saja mengenai dirinya yang terbuka termasuk berdepan siri kontroversi itu dan ini, Nabila gah di liganya tersendiri.

Tahun 2014 yang bakal berlabuh, turut menyaksikan detik manis buat ibu tunggal kepada Keisha Laila ini kerana memenangi anugerah pertama di Anugerah Skrin 2014 anjuran TV3 baru-baru ini kerana diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi drama Balqis.

Drama arahan Erma Fatima itu juga unggul untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik lakonan Puteri Balqis dan Namron pula bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Sebelum anugerah ASK2014, Nabila pernah menggenggam trofi Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH 2012 (ABPBH 2012).

Sehari selepas kemenangan di ASK 2014, Nabila sekali lagi diumumkan sebagai pemenang Anugerah H!Live ketika berlangsungnya konsert anjuran majalah EH! bersempena ulang tahun ke-15. H!Live turut menjadi media rasmi acara yang berlangsung di KL Live, Live Center itu.

Kejayaan terbaru Nabila itu diumumkan Editor H!Live, Syazwan Zakariah yang berada di atas pentas konsert di samping pengarang majalah EH!, Khairul Abidin. Ikuti temu bual BH Online bersama Nabila.

"Saya bersyukur dengan kejayaan demi kejayaan ini. Ia satu permulaan yang indah buat kerja keras saya selama ini. Ia memori indah buat saya untuk penutup 2014. Lebih indah, papa (Amy Search) pun ada di sebelah menyaksikan kejayaan ini.

"Macam anugerah ASK2014, berkat semangat seni saya yang tak pernah luntur, dapat juga merasai pengalaman tercalon dan tak sangka menang pula. Terima kasih kepada mereka termasuk peminat tersayang yang tak putus-putus menyokong saya dari belakang.

Konsert EH! dipersembahkan oleh The Body Shop. Ia menampilkan Sazzy Falak dan hos H!Live, Aliff Farhan sebagai pengacara. Sazzy turut menjadi antara penerima 15 Yang Anggun & Disenangi.

Konsert ini menampilkan artis tempatan Hafiz, Forteen, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Altimet, Adira dan Alyah. Deejay Nas-T dan satu persembahan istimewa oleh Fazura juga turut menghiburkan pada malam itu.

EH! turut membuat keputusan untuk meraikan 15 selebriti tempatan popular. EH! 15 Yang Anggun & Disenangi dipilih berdasarkan pencapaian dan sumbangan mereka kepada industri hiburan.

Selain Sazzy, penerima lain ialah Lisa Surihani, Diana Danielle, Dayang Nurfaizah, Tiz Zaqyah, Awal Ashaari, Nora Danish, Nabila Huda, Neelofa, Fouziah Gous, Fathia Latiff, Hafiz Suip, Bront Palarae, Keith Foo dan Nazim Othman.

Khairul Abidin dan Datin Mina Cheah-Foong selaku Pengarah Urusan The Body Shop menghadiahkan setiap satu mereka bingkai dengan gambar daripada halaman majalah dan hamper The Body Shop.

Berita Harian X