Isnin, 10 November 2014 | 5:25pm

Belanda peringati mangsa MH17 dalam upacara khas

AMSTERDAM: Belanda hari ini mengadakan upacara rasmi di peringkat kebangsaan bagi memperingati 298 mangsa korban nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, Julai lalu.

Bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara serta di pejabat misi diplomatik Belanda di luar negara menjelang upacara memperingati itu di Amsterdam yang akan dihadiri 1,600 keluarga mangsa, di samping Raja Willem Alexander, Ratu Maxima dan Perdana Menteri, Mark Rutte.

Nama mangsa yang terkorban dalam bencana 17 Julai itu, 193 daripada mereka adalah warga Belanda, akan dibaca ketika upacara memperingati muzikal pada jam 12 tengah hari GMT (8 malam) di arena RAI Amsterdam dan disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen.

Empat anggota keluarga akan berucap, selain Rutte.

Upacara bertafakur selama seminit bagi memperingati mangsa kebanyakannya kanak-kanak yang sedang bercuti sekolah dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang malang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Duta dari 16 negara yang kehilangan warganya dalam bencana itu juga turut hadir.

Ukraine dan negara Barat mendakwa pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah pro-Russia menggunakan peluru berpandu darat-ke-udara BUK yang dibekalkan oleh Russia namun Moscow menafikan, sebaliknya menuding jari ke Kiev.

Setakat ini, 289 mangsa sudah dikenal pasti antara serpihan mayat di tempat kejadian oleh pasukan penyiasat diketuai Belanda tetapi Menteri Luar Belanda, Bert Koenders memberi amaran Sabtu lalu bahawa sesetengah mayat tidak akan dijumpai.

Lima lagi keranda dan barangan peribadi diterbangkan ke Belanda Sabtu lalu, di mana mereka melalui proses pengecaman.

Pakar dari Belanda sudah melakukan kunjungan sebanyak empat kali ke tempat kejadian pada awal September sejak gencatan senjata dipersetujui antara pemberontak dan tentera kerajaan Ukraine. - AFP

42 dibaca
Berita Harian X