Jumaat, 24 Jun 2016 | 6:22pm

Pemegang saham setuju RHB Capital dibubar

KUALA LUMPUR: Susulan persetujuan pemegang saham RHB Capital Bhd untuk membubarkan syarikat itu pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini, RHB Banking Group kini boleh mendapatkan kelulusan Bursa Securities untuk menyenaraikan RHB Bank Bhd di Papan Utama Bursa Malaysia.

RHB, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan RHB Bank akan mengambil alih status penyenaraian RHB Capital dengan keseluruhan modal terbitan dan modal berbayar membabitkan kira-kira 4.01 bilion saham yang disasarkan untuk disenarai pada 28 Jun tahun ini.

"Sebarang tunai lebihan dalam syarikat selepas penyelesaian semua liabiliti dan perbelanjaan itu akan dipulangkan kepada pemegang saham berdasarkan hak serta kepentingan dalam syarikat selepas kesemua syarat berhubung cadangan pembubaran dipenuhi," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan permodalan pasaran RHB Capital sebanyak RM18.76 bilion sebelum penggantungan, dan jumlah saham RHB Bank yang diterbitkan sebanyak 4.01 bilion, harga rujukan saham RHB Bank dijangkakan kira-kira RM4.68 sesaham. - BERNAMA

Berita Harian X