Jumaat, 24 Jun 2016 | 10:57pm
ISMAIL Mohamed. - Foto Syarafiq Abd Samad
ISMAIL Mohamed. - Foto Syarafiq Abd Samad

Ismail Mohamed pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh

JOHOR BAHRU: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed, secara automatik memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, berkuat kuasa serta-merta ekoran pengumuman pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada parti, hari ini.

Dalam kenyataan di sini, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Md Jais Sarday, berkata surat pengesahan kedudukan Ismail sebagai pemangku akan dikeluarkan selewat-lewatnya Isnin (27 Jun) kerana esok dan lusa, ibu pejabat UMNO ditutup kerana cuti hujung minggu.

"Kenyataan selanjutnya akan dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor selewat-lewatnya esok," katanya di sini malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO, siang tadi mengumumkan pemecatan Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana melakukan pelanggaran disiplin.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, digantung keahliannya sehingga Majlis Tertinggi (MT) UMNO menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.

Muhyiddin, 69, yang juga Ahli Parlimen Pagoh sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya ke-5 pada 1978, adalah Ketua UMNO Bahagian Pagoh dari 1986. - BERNAMA

Berita Harian X