Sabtu, 25 Jun 2016 | 12:01am
BISKUT dan kacang turut dijual di KP Choco House. - Foto Rosdan Wahid
KP Choco House menyajikan 10 menu terpilih dan merancang untuk menambah lima lagi menu dalam masa akan datang. - Foto Rosdan Wahid
SAZARUL (tengah) melayani pelanggan di KP Choco House. - Foto Rosdan Wahid
PENGARAH KP Choco House, Sazarul Rasidee Ahmad Sabri. - Foto Rosdan Wahid

Sedap dan selesa, harga berpatutan


SAZARUL (dua dari kiri) bersama kakitangan KP Choco House menunjukkan antara hidangan tersedia buat pelanggan. - Foto Rosdan Wahid

JIKA dinilai berdasarkan namanya, KP Choco House Muslim Bakery & Cafe , pasti pengunjung menyangkakan ia adalah kafe yang menjual makanan atau snek berasaskan coklat semata-mata.

Ditambah pula dengan susun atur kafe berkenaan yang agak berbeza daripada restoran lain yang turut menawarkan menu yang sama.

Hakikatnya, KP Choco House itu sebenarnya turut menyediakan pelbagai jenis makanan yang tidak asing lagi kepada 'kaki makan' seperti 'chicken chop', nasi goreng, spagheti dan juga bakso selain pelbagai jenis kek dan pencuci mulut.

Menurut Pengarah KP Choco House, Sazarul Rasidee Ahmad Sabri, kafe yang sudah tiga tahun beroperasi itu mengetengahkan konsep santai dengan harga makanan mampu dinikmati oleh semua golongan.

Harga makanan dan minuman di sini juga memang berpatutan, sesuai untuk mereka yang mengamalkan berjimat ketika hendak menjamu selera.

Ini kerana dengan serendah RM6.50, pelanggan boleh menikmati hidangan seperti spagheti dan bakso, manakala hidangan paling mahal berharga RM9.50 iaitu 'chicken chop'.

"Kami turut menyediakan pakej makanan iaitu kombo satu pilihan makanan yang disertakan dengan air beraneka pilihan pada harga serendah RM10," katanya.


ANTARA menu istimewa di KP Choco House. - Foto Rosdan Wahid

SUSUN atur kafe KP Choco House yang agak berbeza daripada restoran lain. - Foto Rosdan Wahid

Berbaloi dengan saiz makanan

Penulis berkesempatan merasai sendiri keenakan makanan yang ditawarkan di kafe berkenaan.

Walaupun harganya dianggap murah, ia tidak bermakna saiz makanannya pula kecil.

Tanggapan pertama yang muncul di minda fikiran saat melihat beberapa jenis hidangan disusun di atas meja adalah 'saiz hidangannya lebih daripada cukup'.

Itulah yang menjadi senjata rahsia kafe berkenaan kerana harga yang dikenakan amat berbaloi dengan hidangan yang disediakan.

Pengunjung pastinya 'sendat perut' jika makan di kafe yang terletak di Bandar Puncak Alam, Selangor itu.

Sazarul berkata, disebabkan lokasi kafe berkenaan yang berhampiran dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, ramai pengunjungnya terdiri daripada pelajar.

Pada masa ini, KP Choco House menyajikan 10 menu terpilih dan merancang untuk menambah lima lagi menu dalam masa akan datang.

Sementara itu, pengunjung kafe ini, Hanahafizi Ayub, 22, berkata dia memilih kafe berkenaan kerana saiz hidangannya yang besar, berbaloi dengan harga yang ditetapkan.

"Kafe ini juga selesa dan tidak panas. Hiasan dalamannya juga cantik dan mengikut trend semasa," katanya.


ANTARA hiasan di kafe KP Choco House.

HIASAN dalaman yang cantik dan mengikut trend semasa. - Foto Rosdan Wahid

Tidak perlu tunggu lama

Bagi Atikah Hashim, 22, pula berkata KP Choco House menjadi pilihan untuknya makan bersama rakan-rakan kerana hidangan yang disediakan sedap.

"Ia berbaloi dengan apa yang saya bayar. Selain itu, lokasinya juga tidak jauh daripada tempat tinggal saya," katanya yang juga penuntut UiTM Puncak Alam.

Seorang lagi pengunjung, Amira Rahman, 22, turut meluahkan rasa selesanya dengan perkhidmatan yang disediakan KP Choco House.

Katanya, paling penting, mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapat hidangan yang dipesan.

KP Choco House turut menyediakan perkhidmatan penghantaran bergantung kepada masa yang telah ditetapkan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kafe berkenaan, boleh ikuti perkembangannya di laman instagram @kpchocohouse.

INFO KP Choco House

Alamat: No.14, Jalan Astana Alam D 13/D, Puncak Niaga Astana, Seksyen 13, 42300 Puncak Alam, Selangor.

Telefon: 011 28375422

Emel: [email protected]

Berita Harian X