Sabtu, 25 Jun 2016 | 12:05am

Berat badan berlebihan sukar hamil

BERAT badan berlebihan, kegemukan atau obesiti bukan saja mendedahkan seseorang kepada risiko penyakit tetapi menurunkan tahap kesuburan dalam kalangan wanita.

Berdasarkan pemantauan di Klinik Reproduktif, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor, kira-kira 40 peratus wanita mengalami kesukaran hamil disebabkan obesiti.

Setiap tiga wanita yang hadir ke klinik berkenaan untuk mengandung, satu mengalami masalah kegemukan dengan kadar Indeks Jisim Tubuh (BMI) tubuh melebihi 30.

Ketua dan Pakar Perunding Kanan dan Pakar Perubatan Reproduktif, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HTAR, Dr Mohamad Farouk Abdullah, berkata kebanyakan wanita datang ke klinik berkenaan berusia sekitar awal 20 an mengalami kesukaran hamil disebabkan obesiti.

Remaja dalam usia produktif iaitu tempoh boleh mengandung dan melahirkan anak perlu mengambil langkah awal bagi mengawal berat badan.

Kawal berat badan

"Sebaiknya sebelum berkahwin, pastikan BMI mereka tidak melebihi 30 bagi memudahkan proses kehamilan dan melahirkan bayi apabila mendirikan rumah tangga kelak," katanya.

Obesiti memberikan kesan ke atas kesuburan akibat ketidakseimbangan hormon dan masalah ovulasi terutama dalam kalangan wanita obesiti yang menginginkan anak pertama.

Masalah itu berkait rapat dengan sindrom ovari poli-sistik (PCOS) iaitu punca menyebabkan ketidaksuburan dalam kalangan satu daripada lima wanita pada usia reproduktif.

Menurut Dr Mohamad Farouk, kebanyakan pusat reproduktif enggan merawat wanita bermasalah obesiti kerana kadar kejayaan untuk hamil amat rendah dan merugikan kos perubatan.

Justeru, pihaknya menubuhkan Klinik Reproduktif sejak tahun 2008 dengan menyediakan rawatan kesuburan untuk pasangan yang mengalami masalah sukar mendapatkan anak dengan syarat wanita terbabit perlu menurunkan BMI kurang daripada 30.

Tawar rawatan kesuburan

Terkini, klinik berkenaan menganjurkan forum di HTAR bertujuan meningkatkan kesedaran kepada wanita mengenai kesan obesiti dan kesuburan yang dihadiri kira-kira 190 peserta.

Setiap peserta diberikan panduan mengenai diet seimbang dan senaman sesuai selain dipantau sehingga enam bulan sebelum datang semula mendapatkan rawatan susulan.

"Bakal ibu bermasalah obesiti bukan saja sukar hamil tetapi meningkatkan risiko komplikasi kehamilan dan masalah kesihatan bayi yang dikandung.

"Ini termasuk keguguran, hipertensi, diabetes, darah beku dan bayi bersaiz besar serta memerlukan pembedahan caesarean ketika melahirkan," katanya.

Bayi yang dilahirkan ibu yang obesiti cenderung membesar sebagai kanak-kanak dan dewasa yang mengalami berat badan berlebihan disamping pelbagai masalah kesihatan lain.

Info

Bagaimana mengukur BMI:

  • Berat di dalam kilogram dibahagikan dengan tinggi dalam meter (m2)
  • Berat yang sihat untuk orang dewasa:
  • antara 18.5 dan 24.9 kg/m2.
  • BMI antara 25-29.9 kg/m2 dikategorikan sebagai terlebih berat
  • BMI 30 kg dikategorikan sebagai obesiti.
  • Faktor obes:

  • Tabiat pemakanan kurang sihat
  • -Gaya hidup tidak aktif
  • Kesan obesiti ke atas kesuburan:

  • Mengambil masa untuk hamil berbanding wanita dengan berat normal.
  • Cenderung mengalami kemandulan.
  • ,b>Obesiti dan kehamilan:

  • Keguguran

  • Mengalami tekanan darah tinggi dan diabetes.
  • Melahirkan bayi pramatang.
  • Perlu menjalani kaedah kelahiran seperti pembedahan
  • Berisiko mengalami darah beku ketika hamil dan boleh membawa maut.
  • Kesan ibu obes ke atas bayi:

    • Kecacatan bayi
    • Bayi meninggal ketika dilahirkan.
    • Berat bayi melebihi 4.5 kilogram ketika dilahirkan.
    • Meningkatkan risiko membesar sebagai kanak-kanak dan dewasa yang gemuk dengan risiko menghidap pelbagai penyakit.
    • Kaedah menguruskan badan:

      • Bersenam
      • Makan secara seimbang dan sihat
      • Motivasi dan sokongan keluarga serta suami
      • Elakkan makan ubat kurus kerana risiko kesan sampingan ke atas hati.
      • Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat kurus.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X