Sabtu, 25 Jun 2016 | 12:12am
LAPORAN dalam BH semalam.
LAPORAN dalam BH semalam.
PASAR longgok peniaga asing di pasar borong Selayang yang berurus niaga menggunakan mata wang negara asal mereka sesama koloni mereka.
PASAR longgok peniaga asing di pasar borong Selayang yang berurus niaga menggunakan mata wang negara asal mereka sesama koloni mereka.

Warga asing berniaga secara haram sekitar Pasar Selayang

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah membenarkan warga asing berniaga, termasuk secara longgok di bahagian luar sekitar Pasar Borong Harian Selayang.

Sebaliknya, seramai 1,624 pekerja asing dibenarkan bekerja dengan pemborong yang beroperasi dalam Pasar Borong Selayang, selepas melalui pendaftaran dan maklumat mereka direkodkan.

PENGARAH Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja, DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PENGARAH Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja, DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff, berkata sepanjang tempoh bekerja, semua pekerja asing terbabit wajib memakai tanda nama dan seragam mengikut klasifikasi barangan yang dijual.

Beliau berkata, fungsi mereka adalah membantu 448 pemborong pasar berkenaan berikutan tugas sedemikian kurang diminati warga tempatan, selain faktor kos tenaga kerja yang amat murah.

"Biasanya, peniaga asing yang berniaga secara longgok itu mengumpul saki baki bekalan tidak habis dijual peniaga tempatan atau menyewa lesen.

AKTIVITI menjual pelbagai hasil laut di luar Pasar Borong Selayang. - Foto Asyraf Hamzah
AKTIVITI menjual pelbagai hasil laut di luar Pasar Borong Selayang. - Foto Asyraf Hamzah

"Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, DBKL sudah menyita 1,094 hasil jualan penjaja asing dengan 26 tangkapan dalam operasi bersepadu Ops Tegas bersama agensi lain," katanya kepada BH.

Ibrahim berkata, tindakan itu diambil mengikut Undang-Undang Pelesenan Penjaja dan Gerai (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ) 1989, bukan setakat dilarang berniaga, malah tidak boleh membantu pemborong.

Namun beliau mengakui, cabaran utama usaha menangani monopoli warga asing sekitar Pasar Selayang kerana mereka memiliki rangkaian koloni yang besar hingga sukar dikawal tanpa gerakan yang bersepadu.

Katanya, sepanjang Ramadan ini, mereka dipercayai mengambil peluang berniaga kerana tumpuan operasi penguat kuasa banyak terarah kepada bazar Ramadan.

WARGA asing menjalankan urus niaga pembelian yang tidak menggunakan mata wang ringgit ketika tinjauan di Pasar Borong Selayang.
WARGA asing menjalankan urus niaga pembelian yang tidak menggunakan mata wang ringgit ketika tinjauan di Pasar Borong Selayang.

"Hanya berbekalkan kotak penyimpanan makanan basah, tanpa premis khusus, mereka berupaya melarikan diri pada bila-bila masa sahaja, sebaik menghidu kehadiran pihak berkuasa.

"Lebih mengejutkan, dalam satu kes sebelum ini, DBKL mengesan serta menyita sebuah lori satu tan yang digunakan warga asing untuk membawa bekalan makanan basah untuk dijual di situ," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, selain sistem pemantauan, kerjasama peniaga dalam mengutamakan tenaga kerja tempatan juga penting bagi memastikan kesinambungan ekonomi negara tidak terjejas dengan budaya yang dibawa warga asing.

Berita Harian X