Sabtu, 25 Jun 2016 | 7:59am

Amaran untuk aktiviti perkapalan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebentar tadi mengeluarkan amaran untuk aktiviti perkapalan di Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Labuan berikutan angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku sehingga Isnin ini.

Menerusi laman web MetMalaysia yang dikemas kini jam 6.49 pagi ini, amaran sama kategori pertama itu turut membabitkan aktiviti perkapalan di Phuket yang diramal berterusan sehingga Selasa ini.

"Angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam (km/j) dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan ini. Ia berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," katanya.

MetMalaysia turut memberi amaran ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang yang berlaku di Labuan, Sabah; Bahagian Miri (Daerah Miri), Bintulu, Mukah, Sibu (Daerah Selangau dan Sibu), Sarikei, Betong, Sri Aman dan Samarahan (Daerah Simunjan) di Sarawak diramal berterusan sehingga lewat pagi ini.

Ribut petir menyeluruh di perairan Bunguran, Reef South, Reef North, Labuan dan Palawan juga dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

Keadaan ini, katanya, boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot kecil.

Sementara itu, MetMalaysia turut mencerap Lekukan Tropika di Latitud 14.3 Utara dan Longitud 114.3 Timur, 922 kilometer (km) ke Timur Laut Ho Chi Minh City, Vietnam pada jam 5 pagi ini.

Lekukan Tropika hampir pegun 867 km ke Barat Laut Kudat, Sabah itu bagaimanapun tidak memberi kesan signifikan terhadap Malaysia.

Lekukan Tropika ialah satu sistem yang terdiri daripada awan dan ribut petir yang berputar dengan kelajuan angin maksimum 63 km/j atau kurang.

Berita Harian X