Sabtu, 25 Jun 2016 | 10:29am

Jenazah Prof Izzi selamat dikebumi


JENAZAH Prof Izzi disembahyangkan di Masjid Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, pagi tadi. - Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Jenazah pakar motivasi terkenal, Prof Madya Md Izuddin Ali atau lebih dikenali sebagai Prof Izzi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Rusa, di sini, jam 9 pagi tadi.

Lebih 200 hadir memberi penghormatan terakhir pada Allahyarham termasuk keluarga dan rakan Allahyarham.

Jenazah Allahyarham tiba di Kuala Terengganu dari Jitra, Kedah jam 4.30 pagi tadi sebelum dibawa ke rumah kakak sulungnya, Zaleha Ali, 55, di Gong Badak, Kuala Nerus, berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Kampung Pulau Rusa di sini, untuk disembahyangkan pada jam 8 pagi sebelum dikebumikan.

Prof Izzi yang juga anak ketiga dari empat beradik meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Kedah akibat angin ahmar jam 12.45 tengah hari semalam.

Allahyarham yang terkenal sebagai pakar motivasi yang popular dengan tagline 'renung-renungkan dan selamat beramal' juga adalah bekas pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis.

Berita Harian X