Sabtu, 25 Jun 2016 | 4:18pm

Kitab Miftahul Qira'ah bakal dipasarkan ke Jepun

KADI Daerah Johor Bahru Hanif Naim (kiri) menunjukkan Kitab Miftahul Qiraah sambil disaksikan Pengurus Akademi Pengajian Al-Quran Wal-Qiraat ketika majlis pelancaran Kitab Miftahul Qira'ah di Hotel M-Suites, Johor Bahru. - Foto Norazimah Narudin

JOHOR BAHRU: Kitab Miftahul Qira'ah iaitu teknik asas mempelajari al-Quran dengan mudah yang dihasilkan oleh anak tempatan, bakal diedarkan ke Jepun bagi memudahkan umat Islam di negara itu.

Kitab yang dihasilkan oleh tenaga pengajar Akademi Pengajian al-Quran Wal Qiraat itu turut diterjemahkan ke bahasa Jepun dan buat permulaan digunakan di Masjid Kobe, Jepun bagi menilai kesesuaiannya.

Pengurus akademi itu, Hasanuddin Hasyim, berkata pihaknya kini dalam usaha menerbitkan versi Bahasa Inggeris dan Jepun, sekali gus memberi laluan kepada komuniti Muslim yang menetap di negara luar, selain memudahkan mereka memahami dan menguasai kandungannya.

"Setakat ini, kami menerima reaksi positif apabila ia digunakan di Masjid Kobe sebagai langkah percubaan. Sehubungan itu, kami sedang berusaha menterjemahkan kepada bahasa lain sebagai cetakan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas majlis perasmian kitab mengaji Miftahul Qira'ah yang disempurnakan oleh Kadi Daerah Johor Bahru, As-Syeikh Ahmad Hanif Naim, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Hasanuddin berkata, Miftahul Qira'ah adalah kesinambungan daripada kitab Iqra sedia ada yang memberi penunjuk terkini asas membaca al-Quran.

Katanya, Miftahul Qira'ah yang membawa maksud 'kunci bacaan' itu boleh digunakan dalam usaha mengajar dan mendidik anak bangsa ke arah pengetahuan al-Quran yang lebih sempurna.

"Miftahul Qira'ah ini mengandungi 80 muka surat sahaja berbanding 180 muka surat yang digunakan dalam Iqra, selain mempunyai lima bahagian termasuk asas bacaan, qira'ah satu, dua dan tiga, serta asas bacaan al-Quran.

"Usaha yang dijalankan menerusi penyelidikan terperinci daripada tenaga pakar dalam bidang al-Quran bagi mengenal pasti bentuk susunan yang bersesuaian, seterusnya melahirkan sesuatu produk yang lebih baik untuk generasi akan datang.

"Keistimewaan kitab ini adalah himpunan 10 kitab mengaji terpilih dari serata dunia, yang mana setiap satu menggunakan teknik dan pendekatan berbeza, sekali gus mendorong kepada penghasilan yang terbaik," katanya.

Selain itu, Hasanuddin berkata, pihaknya masih giat mendapatkan tajaan kitab itu yang seterusnya akan diserahkan kepada pelajar kurang berkemampuan, selain merancang bagi mengadakan program tajaan buku terbabit ke luar negara.

Berita Harian X