Sabtu, 25 Jun 2016 | 4:18pm

JKDM Perlis sasar kutip GST import RM100 juta

KETUA Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Daerah Padang Besar, Raja Badri Shah Raja Azman (barisan hadapan, empat dari kanan) dan Ketua Bahagian Perkastaman / GST JKDM Perlis, Norrita Che Embi (barisan hadapan, lima dari kanan) bergambar bersama-sama penerima hadiah sempena Majlis Penyampaian Cabutan Dwibulanan April dan Mei 2016 Peraduan Jom Minta Resit GST peringkat Negeri Perlis di Kompleks JKDM Perlis. Seramai 14 orang terpilih menerima hadiah daripada 700 penyertaan di Perlis. - Foto Hafizudin Mohd Safar

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merekodkan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) import berjumlah RM162 juta, sejak April 2015 hingga Jun lalu.

Ia membabitkan barangan tertentu yang dibawa masuk ke negara ini melalui pintu sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar.

Ketua JKDM Daerah Padang Besar, Penolong Kanan Pengarah Kastam 1 Raja Badri Shah Raja Azman, berkata jumlah itu termasuk RM60 juta pungutan GST import yang dikutip sepanjang tempoh enam bulan tahun ini.

"Sehubungan itu, kita menjangkakan jumlah pungutan GST import melalui pintu masuk negara di negeri ini boleh menjangkau lebih RM100 juta menjelang akhir tahun.

"Kebiasaannya beberapa barangan yang mempunyai syarat tertentu termasuk cukai kastam seperti beras pulut dan juga mercun selain barangan dikenakan duti import selain GST import dibawa masuk ke negara ini," katanya selepas menyampaikan hadiah kepada 14 pemenang peraduan Jom Minta Resit GST di Perlis bagi cabutan bulan April dan Mei di Kompleks JKDM Perlis, di sini, pagi tadi.

Raja Badri Shah berkata, pihaknya meminta orang ramai di negeri ini mengambil peluang menyertai peraduan Jom Minta Resit GST berikutan terdapat 1,670 premis di negeri ini berdaftar dengan JKDM Perlis, sekali gus mengenakan GST kepada pelanggan.

"JKDM Perlis merekodkan hanya 700 penyertaan di negeri ini sempena peraduan Jom Minta Resit GST sejak dimulakan pada awal April lalu. Justeru, pengguna tempatan masih berpeluang menyertai program ini," katanya.

Berita Harian X