Ahad, 26 Jun 2016 | 1:12pm

1,000 penduduk bantah projek di Taman Rimba Kiara

PENDUDUK di sekitar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) membawa sepanduk dan kain rentang bagi menyuarakan bantahan terhadap pembinaan pangsapuri mampu milik di atas tapak Taman Rimba Kiara.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 penduduk sekitar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) berhimpun bagi membantah projek pembangunan blok pangsapuri mampu milik 29 tingkat di Taman Rimba Kiara, di sini, pagi tadi.

Ini kerana pembinaan pangsapuri itu bukan saja bakal mengorbankan antara kawasan hijau terakhir di ibu negara, malah bakal menambah kepadatan penduduk daripada 74 orang bagi setiap 0.4 hektar kepada 979 orang untuk keluasan sama.

Kumpulan terbabit yang tiba di taman awam itu sekitar jam 10.30 pagi menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan perancangan membina pangsapuri itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI, Abdul Hafiz Abu Bakar, berkata penduduk di kawasan itu membantah sebarang cadangan bagi membangunkan taman itu yang juga antara kawasan hijau terakhir di TTDI.

"Kami tidak membantah pembangunan, namun kawasan hijau seperti Taman Rimba Kiara tidak seharusnya menjadi korban kerakusan sebarang bentuk pembinaan.

"Taman awam ini satu-satunya tempat rekreasi kami yang bukan saja digunakan penduduk TTDI, malah turut dikongsi penduduk lain seperti Taman Manjalara dan Taman Bukit Bandaraya," katanya ketika ditemui selepas bantahan di Taman Rimba Kiara di sini, hari ini.

Berita Harian X