Ahad, 26 Jun 2016 | 3:25pm

Diskaun tol 10 peratus kepada pengguna LPT 1, KLK

SYARIKAT konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad
SYARIKAT konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad

KUALA LUMPUR: Syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad menawarkan diskaun 10 peratus kepada pengguna yang membuat bayaran secara elektronik (ETC) pada cuti sambutan Aidilfitri, 6 Julai depan.

Pemberian diskaun tol itu bermula jam 12 tengah malam sehingga jam 11.59 malam hari sama, membabitkan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) .

Pengarahnya, Nik Fauzi Nik Hussien, berkata pihaknya menyasarkan 264,258 kenderaan menggunakan dua lebuh raya terbabit  pada tarikh berkenaan.

"Kami menjangka jumlah kenderaan yang menggunakan KLK dan LPT 1 pada waktu puncak akan meningkat kepada 264,258 kenderaan sehari. 

"Ia menunjukkan peningkatan 87 peratus berbanding hari biasa iaitu sebanyak 141,000 kenderaan sehari. Waktu puncak dijangka bermula pada 1 hingga 3 Julai dan kemudian 8 hingga 10 Julai depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, pemberian diskaun itu adalah sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial pihaknya kepada pengguna KLK dan LPT 1.

"Inisiatif ini diambil sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang sentiasa menyokong perkhidmatan rangkaian lebuh raya kami.

"Kita juga berharap pengguna lebuh raya dapat mengamalkan pemanduan secara berkhemah ketika dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing," katanya. 

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik menerusi talian LPT tol Plusline di 09-547-9111 atau melayari laman sosial seperti Facebook rasmi Lebuhraya Pantai Timur dan Twitter di @LPTTrafik.

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X