Ahad, 26 Jun 2016 | 9:15pm

Fahami isu pemecatan Muhyiddin, Mukhriz - Hishammuddin

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari (kiri) menyampaikan bubur lambuk kepada orang ramai yang berkunjung ke Bazar Ramadan Setiawangsa. - Foto Mohd Yusni Ariffin
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari (kiri) menyampaikan bubur lambuk kepada orang ramai yang berkunjung ke Bazar Ramadan Setiawangsa. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta semua UMNO negeri menerima pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan hati terbuka.

Jelasnya, setiap ahli UMNO perlu memahami bahawa pemecatan itu tidak berlandaskan sentimen kenegerian, sebaliknya dilakukan atas kesalahan disiplin.

"Kalau keputusan pemecatan ini diterima sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (UMNO), sepatutnya UMNO di perhubungan negeri juga perlu menerimanya.

"Perkara ini penting bagi kita kerana semua pihak tak kira UMNO di Johor atau di mana-mana negeri pun perlu memahami apa sebab keputusan (pemecatan) itu dibuat," katanya selepas mengagihkan 1,000 bubur lambuk kepada orang ramai di Bazar Taman Setiawangsa, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Muhyiddin, yang sebelum ini digantung daripada jawatan Timbalan Presiden, dipecat daripada UMNO bersama-sama Mukhriz kerana melakukan pelanggaran disiplin.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung keanggotaannya sehingga Majlis Tertinggi UMNO menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.

Hishammuddin turut meminta Muhyiddin dan Mukhriz agar tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan perjuangan UMNO walaupun selepas mereka dipecat daripada parti itu.

Beliau berkata kedua-dua mereka perlu berpegang teguh kepada apa yang pernah dinyatakan dalam parti sebelum ini untuk memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara menerusi UMNO. - BERNAMA

Berita Harian X