Isnin, 27 Jun 2016 | 12:06am
MAWI berdebar reaksi peminat terhadap program dokumentari berjudul Mawi di Bumi Mikraj di Astro Oasis. - Foto Rohanis Abdul Shukri
MAWI turut melancarkan single berjudul Bulan Raya dengan menampilkan Daly Filsuf dan Zila AF sempena Aidilfitri. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Mawi risau reaksi peminat terhadap dokumentari

KUALA LUMPUR: Selepas setahun menyiapkan dokumentari berjudul Mawi di Bumi Mikraj, penyanyi yang juga penerbit, berdebar untuk berdepan dengan reaksi penonton terhadap program yang akan mengisi slot tayangan Astro Oasis, mulai minggu depan.

Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 35, berkata, lebih mendebarkan adalah paparan kehidupan masyarakat Israel dalam episod program itu yang dianggap subjek sensitif bagi sesetengah pihak.

"Tahun lalu, ketika saya berkongsi pengalaman berada di Israel yang dianggap sebagai negara yang bersih, saya mendapat kecaman teruk ramai orang.

MAWI atau nama sebenarnya, Asmawi Ani. - Foto Rohanis Abdul Shukri

"Saya faham, kebanyakan yang mengecam adalah orang yang belum pernah menjejakkan kaki ke negara itu. Ia suatu isu yang sangat sensitif kerana setiap kenyataan yang dikeluarkan boleh memberi salah faham.

"Sekarang saya berdebar untuk melihat maklum balas penonton terhadap program ini. Banyak juga paparan video yang sudah disunting untuk mengelak sebarang isu timbul," katanya kepada BH.

Menerusi program Mawi Di Bumi Mikraj, penyanyi itu bersama 10 kru produksi mengunjungi Tel Aviv, Hebron, Nazareth dan Jarussalem.

Tambah Mawi, program itu menceritakan budaya penduduk Israel, pemahaman Kristian di negara itu dan penerimaan masyarakat tempatan terhadap orang Islam.

"Bagi masyarakat kita, jika sebut Israel saja, bayangan di fikiran sudah menggambarkan mereka jahat. Walhal, yang jahatnya adalah rejim Zionis.

"Saya juga berkongsi budaya negara itu di mana mereka begitu tegas terhadap pelancong yang melawat di tempatnya. Pada masa sama, mereka begitu cerewet. Jika ada mana-mana pihak yang tidak mengikut kata, mereka akan menghalau kita begitu saja," katanya.

MAWI berada dua minggu di Palestin dan Israel menyiapkan dokumentari. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Bersenam kurangkan berat badan

Dalam perkembangan lain, sempena Aidilfitri, Mawi turut melancarkan single berjudul Bulan Raya dengan menampilkan Daly Filsuf dan Zila AF.

Mawi berkata, dia yakin lagu ciptaan Daly itu mampu menjadi hit kerana dihasilkan sepenuh hati oleh komposernya.

"Lagu raya zaman sekarang sudah tidak macam dulu. Untuk menghasilkan lagu raya, kita perlu ada semangat untuk beraya. Kalau tidak ada rasa itu, lagu yang dihasilkan sukar menusuk jiwa pendengar.

"Sebab itu, jika kita lihat lagu raya penyanyi lama, ia menjadi evergreen kerana penghasilannya penuh dengan perasaan semangat kemeriahan beraya," katanya.

Ditanya mengenai kebanyakan single dihasilkannya sering menjadi hit, Mawi menganggap dirinya artis bertuah selain strategi penghasilan muzik yang mesra pendengar.

"Sebenarnya, lagu yang sedap didengar adalah lagu yang bagus. Ada bahagian yang menjadi penarik terhadap pendengar. Itu sudah cukup untuk menarik perhatian ramai," katanya.

Mawi berkata, dia besyukur bermula dengan lagu ketuhanan bersama AC Mizal berjudul Al Haq...Yang Satu diikuti lagu Al Nuraa (menampilkan Daly dan Hazama) dan single Kalah Dalam Menang, dendangannya terus diterima ramai.

"Saya nampak ada beberapa bahagian pada lagu itu yang membuatkan pendengar suka. Alhamdulillah, saya anggap ia suatu rezeki," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mawi berkata, dia aktif bersenam sejak akhir-akhir ini kerana merasakan berat badannya makin meningkat.

"Adalah bersenam sikit-sikit... Itupun selepas ramai yang tegur saya gemuk," katanya berseloroh.

Berita Harian X