Isnin, 27 Jun 2016 | 10:21am

UMNO Pagoh perlu terima keputusan MT

AHLI MT UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada Program Kasih Ramadan di Kota Bharu, malam tadi. -Foto Nik Abdullah Nik Omar
AHLI MT UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada Program Kasih Ramadan di Kota Bharu, malam tadi. -Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: UMNO Bahagian Pagoh perlu menerima keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang memecat keahlian bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli MT UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata alasan UMNO Bahagian Pagoh yang menyatakan pemecatan Muhyiddin tidak demokratik dan tidak mengikut perlembagaan parti adalah tidak benar.

"Keputusan pemecatan itu sudah mengikut syarat yang digariskan perlembagaan parti, yang mana MT boleh berbincang dan memutuskan keputusan kesalahan ahlinya yang melanggar disiplin.

"Dalam perbincangan itu, keputusan dibuat ke atas mereka (Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir) kerana kesalahan berada di pentas pembangkang serta bertindak untuk menjatuhkan parti.

"UMNO Bahagian Pagoh masih terkejut dengan keputusan itu dan mereka perlu diberi masa untuk menerima keputusan dibuat itu," katanya ketika ditemui pada Program Kasih Ramadan di sini, malam tadi.

Program berkenaan diadakan bagi meraikan ahli jawatankuasa Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kelantan sempena Ramadan.

Turut hadir, Pengarah JASA Kelantan, Hishamuddin Ab Rashid.

Puad yang juga Ketua Pengarah JASA berkata, Muhyiddin pernah menyatakan yang beliau masih sayangkan UMNO tetapi pengakuan itu hanya untuk mendapatkan perhatian peribadi saja.

Katanya, jika Muhyiddin sayang kepada parti, dia sepatutnya mengemukakan rayuan tetapi bertindak sebaliknya dengan berada bersama pembangkang untuk menjatuhkan UMNO.

"Muhyiddin adalah orang lama dalam parti yang melalui banyak kes membabitkan masalah disiplin ahli dan dia perlu terima keputusan yang sudah dibuat," katanya.

Berita Harian X