Isnin, 27 Jun 2016 | 6:03pm

Triumph Street Triple R - Realiti bukan mimpi

BAYANGKAN, anda berada jauh dari kesibukan kota. Anda sedang menunggang motosikal berkuasa tinggi dari Batu Caves, Selangor menyusuri jalan raya yang sepi, lebih dingin, pemandangan tenang dan menyegarkan berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam.

Kemudian anda memasuki Jalan Batang Kali - Awana, Genting Highland, justeru keadaan menjadi semakin mencabar apabila mula berdepan selekoh pendek ke kiri dan ke kanan yang berulang-ulang. Anda seterusnya merendahkan gear memasuki selekoh, badan diturunkan menarik sisi motosikal, terasa tayarnya mantap menggigit jalan, sekali gus membuat anda lebih berkeyakinan untuk menurunkan lagi sisi motosikal mengikut rentak selekoh berkenaan.

Sebaik sahaja keluar dari selekoh, anda terus memulas pendikit, tork melonjak tinggi, kuasa dilampiaskan, tayar depan secara perlahan terapung seketika di udara, anda seterusnya menukar gear yang lebih tinggi, semakin tinggi kuasanya, namun anda tidak boleh terlalu lama dalam pecutan, gear terpaksa diturunkan semula untuk memasuki selekoh seterusnya ke kiri dan ke kanan.

Dalam keadaan sebegitu, sebarang kesilapan, buruk akibatnya. Namun motosikal ini amat responsif dengan gaya tunggangan. Laluan kira-kira 30 kilometer dengan lebih 48 selekoh pendek Batang Kali - Awana menjadi amat lancar, terasa lembut dibuai dan stabil tanpa kejutan. Ini bukan satu mimpi, ia adalah realiti dan itulah Triumph Street Triple R 2016.

Dilengkapi enjin tiga silinder sebaris 675 cc 12 valve dengan DOHC, memberi anda deruman yang lembut dan amat kurang gegaran berbanding enjin dua silinder V atau L seperti yang ada pada beberapa model jenama lain seangkatan dengannya. Motosikal tunggang uji sumbangan Fast Bikes Sdn Bhd, pengedar eksklusif motosikal Triumph di Malaysia, turut dilengkapi quick shifter peralatan tambahan yang membolehkan penukaran gear dibuat dengan lebih mudah dan selesa.

Dalam perjalanan pulang, dari Awana melalui Lebuhraya Karak ke Plaza Tol Gombak, enjin yang menjana sehingga 106 kuasa kuda (hp) dan tork 68 Nm pada 7,850 rpm, berserta berat kering 168 kilogram (dalam kategori ringan) berupaya menghasilkan kelajuan maksimum antara 220-230 km/h. Walau begitu, motosikal dalam kategori 'naked' dengan skrin penghadang angin yang kecil, menyebabkan tamparan angin amat menyeksakan penunggang pada kelajuan lebih 170 km/h. Bagi penulis, kelajuan selesa bagi model ini adalah antara 140-160 km/h.

Memasuki Jalan Kuching, Kuala Lumpur ke pejabat penulis di Jalan Riong, Bangsar pada waktu kemuncak sekitar jam 5 petang, kesesakan lalu lintas terpaksa ditempuhi. Berdasarkan pengalaman, kesesakan lalu lintas yang padat dan sendat sentiasa menjadi mimpi ngeri kepada sebahagian besar penunggang motosikal berkuasa tinggi. Berat dan lebar motosikal berkuasa tinggi sering menyukarkan ia mencelah dan amat memenatkan penunggang.

Namun begitu, Triumph Street Triple R mampu mengharungi dengan bersahaja. Fork Kayaba (KYB) 41 mm terbalik, memudahkan kawalan hendel. Brek kliper Nissin di hadapan dan Brembo di belakang, memainkan peranan dengan cemerlang. Badan motosikal yang ramping dan ringan amat membantu mengharungi lima kilometer kesesakan berkenaan tanpa tekanan.

Bagi penulis, kelebihan paling nyata pada Triumph Street Triple R 2016 berbanding model seangkatan adalah ia antara yang paling mudah dikawal, justeru menjadikannya amat versatil. Ia boleh dijadikan motosikal tunggangan harian ke tempat kerja atau sebagai tunggangan hujung minggu dan tentunya, ia juga sesuai untuk penunggang yang baru hendak berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi.

Menjawab persepsi mengenai kesukaran memperoleh alat ganti dan kos penyenggaraan tinggi bagi motosikal keluaran eropah seperti Triumph, Pengurus Jualan Nasional Fast Bikes, Fazli Hisham Shukor, berkata perkara sebegitu tidak berlaku kini.

"Kami sudah berkembang pesat. Selain ibu pejabat dan bilik pameran serta pusat servis utama di Petaling Jaya, kami juga sudah ada cawangan di Georgetown dan Bukit Mertajam (Pulau Pinang) serta di Kuching (Sarawak). Tidak lama lagi dua cawangan baru iaitu di Johor Bahru dan Kota Kinabalu, akan dibuka.

"Tidak susah nak cari alat ganti, kami memiliki stok yang mencukupi. Dari segi penyenggaraan, ia tidak mahal, misalnya harga servis lazim adalah kira-kira RM400 setiap 5000 km atau kira-kira RM600 lebih setiap 10,000 km," jelas beliau.

INFO:

Enjin: 675cc, 3 silinder sebaris, DOHC, 12 valve, penyejukan cecair

Kuasa: 106 Hp (78kW) @ 11,850 rpm

Tork: 68 Nm @ 9,750 rpm

Brek depan: Piring berkembar terapung 310mm Nissin 4-piston caliper ABS

Brek belakang: Piring 220mm, Brembo piston caliper ABS

Fork depan: Kayaba 41 mm terbalik, boleh laras

Absober belakang: Kayaba monoshock, boleh laras

Gear: 6 kelajuan

Rim depan: Aluminium alloy 17x3.5 in

Rim belakang: Aluminium alloy 17x5.5 in

Tayar depan: 120/70 ZR17

Tayar belakang: 180/55 ZR17

Berat kering: 168 Kg

Kapasiti tangki minyak: 17.4 L

Penggunaan petrol: 4.1-5.3L/100 km (bergantung kepada kelajuan)

Harga: RM56,900 (termasuk GST)

Pengedar: Fast Bikes Sdn Bhd, Seksyen 13, Petaling Jaya

Kempen terkini: Rebat tunai RM3,000. Diskaun 50% aksesori terpilih seperti Triumph quick shifter; skrin penghadang angin; beg tangki.

Berita Harian X