Selasa, 28 Jun 2016 | 12:07am

Sisa makanan punca pemanasan global

KUALA LUMPUR: Kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) seharusnya menyedarkan banyak pihak, apabila rakyat Malaysia dikatakan terlampau membazir selepas kira-kira 3,000 tan atau tiga juta kilogram sisa makanan dibuang setiap hari sepanjang Ramadan.

Namun, tahukah anda pembaziran sisa makanan berupaya memburukkan lagi situasi pemanasan global dunia dan fenomena perubahan iklim yang dihadapi dunia sekarang. Bagaimana?

Proses berkenaan berlaku apabila lambakan sisa makanan isi rumah, yang anda lihat sedikit dan tidak memberi apa-apa kesan atau perubahan memenuhi tapak pelupusan sampah selain, gagal diuraikan dalam tempoh tertentu.

Keadaan itu menyebabkan permintaan terhadap tempat pelupusan sampah semakin meningkat, memerlukan kawasan lebih luas dan membabitkan banyak lokasi sekitar bandar selain, meningkatkan kos melupuskan sisa makanan serta sisa pepejal.

Pengarah Green Technology Corporation Malaysia, yang juga bekas Pengarah Alam Sekitar Selangor, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, berkata situasi berkenaan mengancam alam sekitar, menyebabkan pencemaran, meningkatkan suhu dunia, mitigasi perubahan iklim dan merosakkan jadual cuaca seperti hujan serta ribut di seluruh dunia.

Katanya, kesan terhadap ekosistem dunia turut terencat khususnya bagi spesies mikroorganisme atau haiwan kecil yang tidak 'tahan' terhadap perubahan suhu dunia.

"Bayangkan, apabila rantaian makanan terputus, koloni atau komuniti haiwan akan mula berubah dan keluar daripada habitatnya untuk mencari makanan," katanya sambil mengingatkan setiap orang memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kelangsungan ekosistem alam sekitar menerusi langkah mudah, kawal pembaziran sisa makanan.

SISA makanan boleh diguna semula sebagai baja kompos.

"Ubah cara anda membeli makanan, elakkan barangan tidak diperlukan. Kebanyakan wanita bekerja kerap melakukan pembaziran makanan luput tarikh kerana kesibukan bekerja dan tidak sempat memasak.

"Pembuangan sisa makanan luput tarikh seperti sayur dan buah-buahan boleh dikitar semula sebagai produk pencuci pinggan atau lantai organik. Selain bebas kimia, mesra alam sekitar, ia turut menjimatkan kos perbelanjaan isi rumah," katanya.

Di samping itu, sisa makanan boleh diguna semula sebagai baja kompos, makanan haiwan atau bahan mentah penjanaan biogas.

*Cara Buat Baja Kompos (Sisa Makanan)

1-Sediakan tong drum atau bekas mempunyai pengudaraan.

2-Letakkan kompos, masukkan larutan pengurai mengandungi mikro organisma atau bakteria untuk mempercepatkan proses penguraian sisa makanan.

3-Setiap dua hari gaul sisa makanan dengan kompos dan tutup balik bekas itu.

4-Selepas dua minggu, sisa makanan mula diurai dan boleh guna sebagai kompos.

*Cara Buat Kompos Takakura.

1- Sediakan dua larutan 'masin'. Masukkan cebisan sayuran dan beberapa kulit buah dalam bekas mengandungi air bersih dan masukkan garam.

2- Untuk larutan kedua, letakkan tauhu, tempe dan gula dalam bekas air berbeza. Tauhu dan tempe mengandungi mikro organisma yang bertindak sebagai agen memulakan proses kompos. Boleh juga tambah cendawan atau dadih.

3- Simpan larutan untuk tempoh tiga hingga empat hari.

4- Campurkan dalam tong drum yang diisi dengan serkam padi atau daun kering yang dicampurkan dengan dedak ayam.

5- Campur kesemuanya dalam bekas dan tutup dalam jangkamasa sehari dua, supaya suhu naik. (Kalau tidak panas, projek tidak berjaya).

6- Selepas sehari, campur sisa makanan berperingkat mengikut jenis seperti nasi, sayur, buah-buahan seterusnya, daging dan tutup bekas itu.

7- Selang beberapa hari, buka penutup bekas dan gaulkan sisa makanan untuk membolehkan udara masuk dan membantu sistem penguraian.

8- Kompos dihasilkan tidak berbau busuk.

*Cara Buat Bahan Pencuci

1) Asingkan sayuran busuk, kulit buah-buahan atau buah yang busuk

2) Masukkan dalam satu bekas dan campurkan dengan mikro organisma

3) Biarkan selama beberapa hari (bergantung pada kecekapan proses penguraian)

4) Tapiskan daripada lebihan sisa uraian atau gunakan terus sebagai bahan pencuci pinggan mangkuk organik dan pencuci lantai

5) Harus diingat, produk ini perlu dijauhkan daripada kanak-kanak berikutan baunya harum seperti jus buah.

*Cara asingkan sisa pepejal di rumah?

1) Asingkan sisa yang boleh dikitar semula dan sisa baki (sisa yang akan dihantar ke tapak pelupusan).

2) Sediakan apa - apa bekas bersesuaian (4 unit) untuk asingkan sisa seperti kotak atau bakul sampah.

3) Pengasingan mengikut komposisi sisa pepejal seperti berikut :

a) Kertas - surat khabar , majalah, buku panduan, komik, katalog, kertas komputer, kertas A4, kertas berwarna, resit, bil , kotak kertas, kadbod, kalendar, sampul surat, poskad, risalah, dan bungkusan pos.

b) Plastik - botol minuman ringan, botol jus, botol minuman air mineral, bekas makanan, bekas sabun cecair mandian, botol syampu, botol makanan kesihatan/vitamin, bekas pencuci pakaian/lantai, botol kicap, baldi, beg plastik, bekas ais krim dan lain - lain jenis plastik.

c) Lain-lain :

* Kaca/Seramik - botol kicap, botol sos, botol jem, botol minuman ringan, botol vitamin, bekas kosmetik, dan pinggan kaca.

* Tin aluminium/besi/logam lain - tin minuman ringan, tin makanan dan sos, tin biskut, tin makanan cecair, alatan dapur seperti sudu, periuk dan senduk.

* Sisa elektrik/barang elektrik kecil - bateri, kalkulator, telefon bimbit, peralatan elektrik, lampu kalimantang, lampu LED,cerek elektrik dan dapur elektrik.

*Bahan fabrik/kasut/getah/kulit - kasut, beg tangan, pakaian dan sarung tangan.

* Sisa berbahaya - bekas penyembur ubat nyamuk,tin cat, bekas racun, bekas bahan pelarut dan bekas ubat anai-anai.

* Sisa Baki - sisa dapur, sisa makanan, lampin pakai buang, bahan-bahan kotor lain.

Fakta Nombor:

  • 3,000 tan / tiga juta kilogram - Makanan dibuang setiap hari sepanjang Ramadan.
  • 47 peratus - Buangan sisa pepejal di lokasi kediaman, premis dan institusi membabitkan sisa makanan
  • 53 peratus - Membabitkan barangan kitar semula lain seperti kaca dan plastik
  • RM1.6 bilion setahun - Perbelanjaan pengurusan sisa pepejal
  • 161 - Tapak pelupusan sampah di negara kita
  • 30,000 tan sehari - Jumlah kutipan sisa pepejal
  • 850 > 1.100 Celsius - Pembakaran sampah kering menghasilkan dua pertiga megawatt karbon dioksida.
  • 8,000 tan makanan terbuang setiap hari - Berupaya menampung bilangan penduduk dunia seramai enam juta orang.

*Amaun janaan sisa pepejal (Malaysia)

2005 - 19,000 tan sehari

2012 - 33,130 tan sehari

2014 - 36,000 tan sehari

2016 - 30,000 tan sehari

2020 - 50,000 tan sehari (Jangkaan)

*Komposisi penjanaan sampah

-Sisa makanan - 44.5 peratus

-Plastik - 13.2 peratus

-Lampin pakai buang - 12 peratus

-Kertas - 23.3 peratus

-Sisa kebun - 5.8 peratus

-Sisa lain - gelas, logam, sisa berbahaya dan kotak minuman.

*Kadar kitar semula:

- Malaysia - 15 peratus

- Jepun - 77 peratus

- Singapura - 60 peratus

- Korea - 49 peratus

Jenis Sisa Pepejal

1- Komersial

Definisi :

Apa-apa sisa pepejal yang dihasilkan daripada aktiviti komersial

Contoh :

Kertas, kadbod, plastik, kayu, sisa makanan, restoran, kaca, logam dan apa-apa jenis sisa yang serupa dengan sisa isi rumah yang terhasil dari aktiviti komersial.

Punca :

Pasar raya, hotel, rumah tumpangan, kedai percetakan dan stesen perkhidmatan.

2- Pembinaan

Definisi :

Apa-apa sisa pepejal yang dihasilkan daripada aktiviti pembinaan termasuk kerja pemajuan, penyediaan, pembaikan atau pengubahan.

Contoh : Batu-Bata, simen, kayu dan besi.

3- Isi Rumah

Definisi :

Apa-apa sisa pepejal dihasilkan oleh sesuatu isi rumah dan daripada jenis yang biasanya dihasilkan oleh atau dikeluarkan oleh mana-mana premis apabila dihuni sebagai rumah kediaman.

Contoh :

Sisa makanan, kertas, pampers, plastik, botol, kaca dan aluminium.

4- Perindustrian

Definisi : Apa-apa sisa pepejal yang dihasilkan daripada apa-apa aktiviti perindustrian

Contoh : Sisa yang terhasil dari proses pengilangan

Punca :

Industri fabrik, industri pembuatan makanan, industri ringan dan industri berat.

Berita Harian X