Selasa, 28 Jun 2016 | 12:09am

Keputusan Brexit belum rasmi - PM Ireland

PERDANA Menteri Ireland, Enda Kenny. - Foto AP
PERDANA Menteri Ireland, Enda Kenny. - Foto AP

DUBLIN: Perdana Menteri Ireland, Enda Kenny memaklumkan mesyuarat khas parlimen hari ini, kepentingan negara menjadi agenda utama dalam sebarang rundingan membabitkan perpisahan United Kingdom (UK) daripada Kesatuan Eropah (EU), selain tidak menjangka pengunduran rasmi berlaku.

Beliau berkata, kerajaan negara lain memahami bahawa UK kini dilanda gelombang ketidaktentuan politik, menyebabkan sedikit masa diperlukan untuk menyelesaikannya.

"Saya menjangka satu persetujuan meluas perlu kita tunggu sebelum perdana menteri baharu British dipilih untuk makluman rasmi keluar (Brexit) boleh dibuat," katanya.

Kenny memanggil persidangan parlimen selepas satu mesyuarat kabinet tergempar Jumaat lalu susulan keputusan undian Brexit. Beliau mengakui, Ireland menanggung lebih banyak kerugian berbanding anggota EU lain akibat Brexit namun berkata, kerajaan sudah menggariskan pelan kontingensi.

"Risiko sentiasa lebih tinggi dalam isu ini bagi Ireland berbanding negara lain dalam EU. Urusan pelan kontingensi kami akan mengutamakan isu politik dan strategi yang timbul serta kesannya kepada Ireland Utara, kawasan yang biasa dilawati serta sempadan," katanya. -AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X