Selasa, 28 Jun 2016 | 12:09am

Inspirasi koleksi raya

FESYEN yang masih mengekalkan elemen Melayu.

MENGAMBIL inspirasi daripada keindahan dan pengaruh pelanggannya dalam kalangan bangsawan dan diraja, pereka terkemuka tanah air, Datuk Bernard Chandran memperkenalkan koleksi untuk lebaran.

Pertunjukan fesyen untuk koleksi raya 2016/2017, yang diperagakan barubaru ini, memperlihatkan pereka ini memberi penghormatan khusus kepada Permaisuri Brunei kerana tertarik dengan gaya pemakaian tudung sutera dihiasi cetakan floral, selain pakaian yang bertatahkan hiasan permata.

Pertunjukan itu adalah untuk meraikan ulang tahun ke-10 koleksi raya.

Sebanyak 46 rekaan dipersembahkan dalam pertunjukan yang turut dihadiri Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

MENGEKALKAN konsep segar dan terkini.

Kekalkan elemen Melayu

Terkenal dengan gaya dan rekaan fesyen yang berani, koleksi kali ini juga menyerlahkan kehebatan Bernard yang tidak pernah teragak-agak untuk menampilkan kelainan dalam setiap rekaannya bersesuaian dengan jenama ini yang menempa nama di persada fesyen antarabangsa.

Masih mengekalkan pakaian tradisional Melayu dengan konsep yang sentiasa segar dan terkini, Bernard turut memperkenalkan beberapa perubahan dari segi gaya potongan, pemilihan warna yang kontras, cetakan dan tekstur serta pemilihan era 70-an yang memberikan kelainan dalam koleksi kali ini.

POTONGAN kain dengan susunan kipas di sisi tepi memberikan kelainan dalam rekaan ini.

Sentuhan mewah

Memecah tradisi pemilihan fabrik bercorak yang sebelum ini cukup terhad penggunaannya, Bernard tampil berani menggabungkan corak dan banyak warna dalam satu rekaan.

Ternyata kesannya tidak nampak sarat tetapi cukup menyerlah dan memukau malah menenangkan setiap mata yang memandang.

Penggunaan perincian manik penuh yang sarat dan memukau bukan saja memberikan sentuhan mewah tetapi tampak lebih glamour dalam setiap rekaan.

Tambah menarik, potongan kain dengan susunan kipas di sisi tepi memberikan kelainan dalam rekaan ini untuk lari daripada kebiasaannya yang hanya diletakkan pada bahagian belakang.

Melengkapkan pertunjukan berkenaan adalah perhiasan mewah barangan kemas dari Elegance Club dan beg tangan berjenama dari Kabinet.

INFO

Warna pilihan

  • Warna tenang dan mendamaikan, pilihan pereka bagi musim panas 2016.
  • Antara warna pilihan, kuning, merah Fiesta, hijau Flash, coklat Iced Coffee dan kelabu Lilac.
Berita Harian X