Rabu, 29 Jun 2016 | 3:39pm
Pengerusi Persatuan Pengawa Negeri Kelantan, Yasin Othman (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kewangan kepada wakil Setiausaha Agong Pondok Madrasah Diniah Bakriah, Ahmad Shairazi Atiqullah di kawasan kebakaran madrasah itu di Pasir Tumboh, Kota Bharu. - Foto Nikm Abdullah Nik Omar

Pondok Pasir Tumboh perlu RM1j bina kompleks Muslimat


Pengerusi Persatuan Pengawa Negeri Kelantan, Yasin Othman (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kewangan kepada wakil Setiausaha Agong Pondok Madrasah Diniah Bakriah, Ahmad Shairazi Atiqullah di kawasan kebakaran madrasah itu di Pasir Tumboh, Kota Bharu. - Foto Nikm Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta bagi pembangunan semula dan pembinaan kompleks Muslimat yang menempatkan asrama serta pusat pengajian yang boleh menampung hingga 300 pelajar perempuan.

Setiausaha Agung Pondok Pasir Tumboh, Ahmad Shairazi Atiqullah, berkata kompleks berkenaan akan disegerakan pembinaannya di tanah wakaf seluas satu hektar di kawasan berkenaan.

"Untuk proses pecah lot tanah, kami masih tidak pasti berapa lama masa diambil tetapi kami akan segerakan pembinaan kerana penderma ingin melihat apa yang dilakukan dengan duit sumbangan yang diterima," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, satu blok bangunan dua tingkat mengandungi tiga pintu asrama Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh, hangus dalam kebakaran kira-kira jam 5.50 petang pada 17 Jun lalu.

Madrasah pengajian agama itu mempunyai 10 blok bangunan asrama dan tempat pengajian untuk kira-kira 1,000 pelajar dari seluruh negeri yang berusia 18 hingga 25 tahun.

Ahmad Shairazi berkata, ramai yang memberi sumbangan selepas pondok ini terbakar dan musibah ini dianggap sebagai satu rahmat untuk menggantikan pondok yang lebih baik untuk keselesaan pelajar.

Sementara itu, Kesatuan Penggawa Negeri Kelantan (KPNK) dan Koperasi Penggawa Kelantan Berhad (KPKB) turut menyampaikan sumbangan untuk meringankan beban dialami pengurusan pondok berkenaan.

Pengerusi KPNK, Yasin Othman, berkata sumbangan wang tunai itu adalah satu inisiatif bagi menunjukkan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.

"Walaupun jumlahnya tidak besar, tetapi kami berusaha membantu pondok ini, sekali gus menunjukkan penggawa dan masyarakat mempunyai hubungan erat dan saling membantu jika mengalami musibah," katanya.

90 dibaca
Berita Harian X