Khamis, 30 Jun 2016 | 12:26am

Hukum lelaki dan wanita mewarnakan rambut

SOALAN: Suami menyuruh saya mewarnakan rambut dengan warna merah. Adakah berdosa perbuatan itu sedangkan ia dilakukan untuk memuaskan hati suami.

JAWAPAN: Mewarnakan rambut dengan pewarna tertentu selain hitam adalah dibolehkan dalam Islam. Bahkan ia menjadi sunat jika dilakukan dengan warna inai. Perkara ini telah dibuktikan menerusi hadis Nabi yang begitu banyak menggalakkan sahabatnya menginai rambut mereka apabila usia meningkat.

Antaranya hadis diriwayatkan oleh Aisyah, Nabi SAW bersabda: "Ubahlah rambut yang beruban (dengan berinai), janganlah kamu semua menyerupai golongan Yahudi dan Nasrani (yang suka membiarkan rambut mereka putih)." (Sunan al-Nasaie)

Sabda Nabi SAW lagi: "Warnakanlah rambut kamu semua dengan inai. Sesungguhnya perbuatan itu akan menyebabkan kamu semua kelihatan lebih muda dan bergaya ketika hendak melangsungkan perkahwinan." (Riwayat al-Bukhari)

Periksa status halal

Dapatlah disimpulkan bahawa perbuatan mewarnakan rambut telah dibenarkan oleh Nabi SAW untuk umatnya sama ada lelaki ataupun wanita. Namun, perlu diingatkan pewarna rambut selain inai mestilah disahkan status halalnya terlebih dahulu.

Ia berikutan terdapat sesetengah pewarna rambut mengandungi bahan terlarang dan diharamkan oleh Islam. Adakalanya pewarna rambut berkenaan akan mengakibatkan air wuduk tidak sampai kepada rambut sedangkan ia rukun dalam wuduk.

Jika dua keadaan ini berlaku, maka hukum mewarnakan rambut dengan pewarna itu adalah haram. Justeru, penggunaan pewarna rambut daripada inai adalah yang terbaik memandangkan ia tidak mengandungi bahan meragukan.

Walau bagaimanapun, wanita perlu mengambil perhatian bahawa mewarnakan rambut tidak boleh dilakukan kecuali setelah mendapat keizinan suami. Manakala bagi wanita yang belum berkahwin, keizinan mereka tertakluk kepada keizinan ibu bapa.

Mereka juga tidak boleh mempertontonkan rambut yang telah diwarnakan itu kepada lelaki yang bukan mahram kerana rambut wanita adalah aurat yang wajib ditutup daripada pandangan lelaki bukan mahram.

SOALAN: Bolehkah saya mewarnakan rambut supaya uban tidak kelihatan dan untuk nampak muda depan isteri.

JAWAPAN: Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada saudara kerana berjaya memelihara keharmonian rumah tangga dengan cara tidak bercanggah syarak. Mewarnakan rambut dengan inai adalah dibenarkan kerana terdapat dalil menyokong.

Sabda Nabi SAW kepada seorang sahabat yang datang berjumpa baginda dalam keadaan rambut dan janggutnya putih: "Tidakkah kamu seorang Muslim? Dia berkata: Ya. Maka warnai (rambut dan janggutmu dengan inai)." (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Warnakan (rambut) dengan inai kerana ia akan menampakkan kamu kelihatan muda pada usia dan perkahwinan." (Riwayat al-Bukhari)

Dalil menunjukkan perbuatan mewarnakan rambut dengan warna tertentu seperti inai adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan Islam. Syaratnya bahan pewarna itu halal.

Berita Harian X