Khamis, 30 Jun 2016 | 10:21am

Projek pangsapuri Taman Rimba Kiara tidak mohon EIA

PENDUDUK TTDI berkumpul secara aman bagi membantah projek pembinaan apartmen di Taman Rimba Kiara, 26 Jun. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak menerima permohonan penilaian awal tapak daripada pemaju atau pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung cadangan pembangunan pangsapuri di sebahagian kawasan Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim, berkata cadangan projek itu tidak tertakluk kepada keperluan penilaian kesan alam sekitar (EIA) mengikut Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kepada Kesan Alam Sekeliling) 2015.

"JAS juga tidak menerima permohonan penilaian awal tapak daripada pemaju projek atau DBKL," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dilaporkan terkejut dengan cadangan pembangunan pangsapuri di sebahagian kawasan Taman Rimba Kiara di TTDI.

Katanya, sebelum ini kerajaan sudah memutuskan pembangunan Hutan Simpan Kekal (HSK) perlu dihentikan serta-merta bagi mengekalkan peranan dan sumbangannya kepada pembangunan negara, selain pemuliharaan kepelbagaian flora serta fauna.

Bagaimanapun, katanya, hutan di bandar raya ini tidak dikategorikan sebagai HSK dan bukan dalam bidang kuasa kementeriannya, sebaliknya Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL, manakala kementeriannya menerusi JAS hanya bertanggungjawab terhadap kelulusan EIA untuk penerokaan mana-mana kawasan hutan berkeluasan lebih 20 hektar.

Berita Harian X