Khamis, 30 Jun 2016 | 11:54am

Laluan LRT baharu boleh digunakan hari ini

 

KETUA Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Ahmad Nizam Mohamed Amin. - Foto Zulfadhli Zulkifli
KETUA Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Ahmad Nizam Mohamed Amin. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh menggunakan laluan transit aliran ringan (LRT) baharu di Lembah Klang mulai jam 6 pagi hari ini, susulan pembukaan 15 stesen termasuk stesen integrasi Putra Heights.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Ahmad Nizam Mohamed Amin, berkata 10 daripada 15 stesen itu adalah laluan Kelana Jaya membabitkan Lembah Subang, Ara Damansara, Glenmarie, SS15, SS18, Taipan, Wawasan, USJ 21, Awan Megah dan Subang Alam.      

 

"Untuk LEP Laluan Ampang dan Sri Petaling, lapan stesen baharu sudah beroperasi manakala stesen di Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5 dibuka sejak 31 Oktober tahun lalu, empat lagi stesen di IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri memulakan operasi sejak 31 Mac lalu.

"Baki tiga stesen untuk laluan Ampang dibuka hari ini adalah stesen Puchong Prima, Puchong Perdana dan Putra Heights, yang berintegrasi dengan laluan Kelana Jaya. Waktu operasi adalah dari jam 6 pagi hingga jam 12 tengah malam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, pembukaan penuh Projek Penyambungan Jajaran (LEP) hari ini turut menyediakan kemudahan sambungan dengan perkhidmatan KTM Komuter dan Bas Rapid Transit, laluan Sunway.

ORANG ramai menggunakan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dan Ampang yang mula beroperasi secara rasmi pagi tadi. - Foto Zulfadhli Zulkifli
ORANG ramai menggunakan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dan Ampang yang mula beroperasi secara rasmi pagi tadi. - Foto Zulfadhli Zulkifli

"Bagi sambungan untuk perkhidmatan bas elektrik, Bas Rapid Transit (BRT) laluan Sunway akan disediakan di stesen LRT USJ 7. 

 

"Pertukaran dengan KTM Komuter laluan Pelabuhan Klang dan Rawang disediakan oleh stesen di Subang Jaya, iaitu dua stesen baharu menerusi penyambungan jajaran LEP Kelana Jaya," katanya.

 

Ahmad Nizam berkata, serentak dengan pembukaan ini, Rapid Bus Sdn Bhd akan memulakan perkhidmatan bas pengantara bagi memastikan penumpang dapat menggunakan perkhidmatan itu dengan selesa. 

 

"Untuk satu bulan pertama, tiada bayaran dikenakan di kawasan 'parkir dan gerak', malah kita menyarankan penumpang menggunakan pakej bulanan MyRapid SMART 30 dan pakej mingguan SMART 7 untuk menjimatkan wang.

 

"Maklumat penuh mengenai jadual bas dan kemudahan 'parkir dan gerak' atau 'park 'n ride' boleh diakses menerusi laman web www.myrapid.com.my," katanya.

 

Berita Harian X