Khamis, 30 Jun 2016 | 2:08pm

Ahli Parlimen Beluran taja akhbar BH di luar bandar

DATUK Seri Dr Ronald Kiandee.

TELUPID: Penggunaan akhbar BH sebagai bahan bantuan mengajar menerusi program Akhbar Dalam Darjah (ADD) berupaya melahirkan pelajar berpengetahuan tinggi, selain membantu guru dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah di luar bandar.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata aspek itu mendorongnya menaja akhbar BH sebagai bahan rujukan pelajar luar bandar untuk meningkatkan prestasi dalam peperiksaan, selain mendedahkan mereka pada perkembangan semasa.

"Menerusi program tajaan akhbar ini, pelajar luar bandar didedahkan dengan pembacaan akhbar, sekali gus menambah ilmu pengetahuan serta perkembangan semasa di negara ini dan luar negara serta memupuk sikap suka membaca.

"Dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, penggunaan akhbar ini sebagai alat bantu mengajar amat berkesan, selain rujukan pelajar menerusi sisipan pendidikan dalam akhbar berkenaan," katanya selepas merasmikan Hari Kecemerlangan dan Pelancaran ADD BH di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sapi, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Ulu Sapi, Albert Andau Paulus Andau serta Eksekutif Jualan dan Pengedaran Akhbar The New Straits Times Press (NSTP) Cawangan Sabah, Maxmillan Paujik.

Tajaan itu membabitkan 15,000 naskhah akhbar BH kepada 10 sekolah dalam Parlimen Beluran khususnya di kawasan luar bandar.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, pelancaran ADD itu sebagai program perintis dan tidak menolak kemungkinan melaksanakannya secara berterusan untuk membolehkan lebih banyak sekolah mendapat manfaat.

"Kita harap kerjasama Parlimen Beluran dengan NSTP dan BH ini berpanjangan supaya lebih banyak murid luar bandar di Parlimen ini mendapat manfaat.

"Kita juga berharap pelajar mengambil peluang ini untuk menambah pengetahuan dan pendorong kecemerlangan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan pelajar luar bandar di daerah ini tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan tercicir dalam pendidikan.

"Pelajar cemerlang ada di mana-mana, apa yang penting bagaimana kita menggilap kelebihan pendidikan dan pelajar sendiri mesti ada niat untuk berjaya," katanya.

Sementara itu, Albert Andau menyifatkan tajaan akhbar BH oleh Ahli Parlimen Beluran ke sekolah berkenaan mampu memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar luar bandar.

"Sebagai antara sekolah perintis penggunaan ADD, saya akan memastikan objektifnya mencapai sasaran untuk meningkatkan prestasi pelajar," katanya.

Berita Harian X