Khamis, 30 Jun 2016 | 4:40pm

Mangsa penipuan pakej pelancongan diminta buat aduan

TIMBALAN Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin semasa sidang media "Penipuan Pakej Umrah" di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia meminta individu yang pernah ditipu pemilik agensi pelancongan menawarkan pakej mampu milik atau 'Backpackers' untuk tampil membuat laporan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata pihaknya tahu ramai individu tertipu dengan pakej murah ditawarkan agensi tertentu tetapi tiada yang membuat aduan.

"Tanpa laporan, siasatan tidak boleh dijalankan. Justeru, saya memohon individu berkenaan membuat laporan supaya perkara seperti ini dapat dibendung.

"Bercuti dengan pakej ekonomi atau 'backpackers' sudah menjadi aliran masa kini dan modus operandi lazimnya menggunakan perantaraan media sosial.

"Jika ada laporan dan dapat mengenal pasti pemilik agensi berkenaan, kita boleh minta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menutup akaun media sosial milik mereka," katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata, tindakan menawarkan pakej murah atau ekonomi tidak menjadi kesalahan, namun ia mesti dikendalikan syarikat berlesen.

Jika syarikat berkenaan tidak berlesen dan didapati menipu pengguna, katanya, mereka boleh dikenakan tindakan manakala syarikat berlesen dan melakukan perbuatan sama boleh kehilangan lesen.

"Jika individu berkenaan ditipu mengenai pakej iaitu tidak mendapat apa yang diiklankan, aduan boleh dilakukan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna atas kesalahan menipu.

"Bagaimanapun, rakyat Malaysia jarang membuat aduan sekiranya ditipu, menyebabkan kementerian sukar mengambil tindakan," katanya.

Berita Harian X