Khamis, 30 Jun 2016 | 4:56pm

Muntah lebih 20 kali sehari, Ezad mungkin terkena buatan orang


ARTIS Ezad Lazim. - Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Menderita penyakit yang tidak diketahui puncanya, penyanyi, Ezad Lazim terpaksa pulang ke kampungnya di Alor Setar, Kedah.

Isterinya, Nor Azeana Ramli, berkata Ezad mula muntah dengan kerap sejak 22 Jun lalu sehingga terpaksa ditahan di Hospital Ampang, di sini, namun doktor tidak dapat mengesahkan punca penyakitnya.

"Doktor pun tiada jawapan mengapa Ezad muntah dengan begitu kerap. Sampaikan kami dicadangkan untuk membuat rawatan secara tradisional pula.

"Saya sedih melihatnya. Setiap hari, lebih 20 kali dia muntah. Nak makan pun susah, malah walaupun diberi sebiji kurma, dia tetap akan muntah semula.

"Sekarang Ezad berada di kampung. Sekurang-kurangnya, dia bersama keluarga untuk mendapatkan semula semangat bagi kembali sihat," katanya kepada BH Online.

Tambah Azeana, Ezad juga dibawa berjumpa dengan seorang ustaz, namun jawapan yang diberikan amat mengejutkan. Mereka dimaklumkan, orang yang dikenali cuba menggunakan ilmu hitam terhadap penyanyi berkenaan.

Bagaimanapun Ezad mahupun Azeana mengambil pendekatan untuk berfikiran positif untuk tidak mempercayai perkara itu sepenuhnya.

"Ustaz itu kata, ia bermula dengan saya. Saya sakit kanser sebelum ini kerana buatan orang. Kemudian orang yang sama pula cuba mengganggu Ezad.

"Tetapi kami tidak mahu cepat melatah, dan mungkin ustaz itu silap. Entah, saya pun tak tahu hendak cakap apa, dan tidak pasti sama ada mahu mempercayainya atau tidak. Bagaimanapun saya dan Ezad ambil perkara ini secara positif," tuturnya.

Sementara itu, cerita Azeana, ekoran terlalu kerap muntah, Ezad turut mengalami sakit dada dan ada kala suaminya menangis kerana menahan sakit.

"Dia bagaimanapun begitu positif dan kuat semangat selain bersungguh-sungguh mahu sihat. Sejak single baharunya, Demi Cinta, diputarkan di radio, ramai yang menawarkannya untuk menjayakan persembahan.

"Malah, kalau hendak diikutkan sepanjang minggu ini sehinggalah pada Hari Raya pertama, jadualnya padat. Diharap dia sihat seperti sedia kala," tuturnya.

87 dibaca
Berita Harian X