Jumaat, 1 Julai 2016 | 2:27pm

Program VIP diperluas ke negara ASEAN


KETUA Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah bersama peserta Volunteering For International Professionals (VIP) 2016 semasa majlis penutup di Kementerian Kewangan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Program Kesukarelawanan untuk Profesional Antarabangsa (VIP) akan diperluaskan ke negara ASEAN seperti Kemboja, Laos dan Indonesia.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata negara berpendapatan rendah memerlukan pertolongan sukarelawan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Katanya, program menerusi VIP banyak memanfaatkan komuniti ASEAN dan secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pasaran dalam kalangan negara anggota.

"Jika masyarakat yang dibantu dapat meningkatkan pendapatan mereka, ia dapat membuka peluang pasaran selain meningkatkan potensi sedia ada antara negara.

"Kos yang digunakan bagi program VIP tidak terlalu besar tetapi kesannya ketara dalam masyarakat berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup program VIP 2016, di sini, hari ini.

VIP adalah sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), yang merangkumi inisiatif membantu golongan luar bandar dan bandar bagi meningkatkan taraf hidup serta merapatkan jurang pendapatan.

Program berkenaan dilancarkan pada 21 Mac lalu dengan 50 sukarelawan, termasuk 30 dari negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Bosnia, India dan Thailand menyertai program empat bulan bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Mohd Irwan berkata, sukarelawan program VIP berperanan memulihkan semangat golongan sasar untuk meneruskan hidup dengan mengajar mereka meningkatkan pendapatan melalui perniagaan.

"Contohnya, sukarelawan membantu gelandangan mewujudkan kehidupan lebih selesa dan mengajar bagaimana untuk maju," katanya.

VIP yang dianjurkan sejak tahun lalu, disertai sukarelawan pelbagai negara merangkumi golongan profesional dengan misi yang sama.

Mereka dipilih daripada ratusan permohonan secara dalam talian dan perlu melalui temu duga serta tapisan Wisma Putra selain Jabatan Imigresen.

29 dibaca
Berita Harian X