Jumaat, 1 Julai 2016 | 7:12pm

Remaja perempuan dipercayai diculik ketika beli belah

Ayuni Idora yang dipercayai diculik ketika membeli belah di Kubang Kerian.

KOTA BHARU: Seorang pelajar Tingkatan Satu dipercayai diculik seorang lelaki ketika sedang membeli belah di sebuah pasar raya di Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Mangsa, Ayuni Idora Deraman ke pasar raya berkenaan bersama keluarga jam 12 tengah hari, sebelum diculik ketika berada di ruang legar pasar raya itu.

Ahli keluarga mangsa yang lain ketika itu berada di tingkat satu.

Bapa mangsa, Deraman Mat Ail, 61, yang tinggal di Kampung Lancang, Ketereh berkata ketika kejadian, dia tidak bersama ahli keluarganya kerana menunggu di luar pasar raya.

"Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas isteri mendapat pesanan menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan telefon Ayuni Idora, memaklumkan anak saya berada bersama seorang lelaki.

"Penculik berkenaan meminta wang tebusan RM5,000 daripada kami. Sekiranya kami gagal membayarnya, penculik itu mengugut akan membawa anak perempuan saya ke Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru, Deraman meminta orang ramai membantu mengesan anaknya dan laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kubang Kerian.

Ketika hilang, Ayuni Idora memakai Baju T lengan panjang berwarna merah dan berseluar panjang jalur putih.

Berita Harian X