Jumaat, 1 Julai 2016 | 11:21pm

Peneroka di Trolak lapor polis kes fitnah terhadap FELDA

KETUA Peneroka FELDA Wilayah Trolak, Sulong Jamil Mohamad Shariff (empat kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Daerah Muallim di Tanjung Malim, hari ini. - Foto Amrullah Abdul Karim

TANJUNG MALIM: Sekumpulan ketua peneroka di Wilayah Trolak membuat laporan polis berikutan tindakan seorang peneroka membuat empat tuduhan berat kepada pengurusan FELDA dan pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Laporan dibuat oleh Ketua Peneroka FELDA Wilayah Trolak, Sulong Jamil Mohamad Shariff, 56, di Balai Polis Daerah Muallim di sini, hari ini.

Beliau mewakili ketua peneroka dari 21 tanah rancangan dalam wilayah itu termasuk yang berada di Selangor.

Sulong Jamil mendakwa, empat tuduhan yang dilemparkan oleh seorang peneroka tanah rancangan FELDA Soeharto itu memaksa mereka membuat laporan polis.

Beliau berkata, tuduhan berunsur fitnah itu dimuat naik di Facebook dan aplikasi WhatsApp oleh pemilik akaun individu terbabit sejak bulan lalu dan terkini pada 29 Jun lalu, mendakwa Pengerusi FELDA menyalahguna kuasa dan menggunakan kuasa mutlak untuk menyusahkan orang Melayu serta seorang penjenayah.

Katanya, individu berkenaan turut menuduh FELDA membuat pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM6 bilion, peneroka FELDA Soeharto dilambakkan dengan hutang RM137,778.25.

"Kenyataan yang dibuat ini selain mencemarkan imej FELDA dan anak syarikat FELDA sekali gus boleh menimbulkan huru-hara dan ketidakpercayaan masyarakat terhadap FELDA.

Berita Harian X